Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sekin Hotel & Resort, milik  Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Mohd Yunos sedang dalam lelongan dengan harga permulaan RM4.5 juta.

Hotel seluas 13,509 meter persegi terletak di alamat 358, Resort and Restaurant, Jalan Pantai Redang, Kampung Baru Sungai Labu, di Sekinchan.

Menurut Jamal perniagaannya merosot selepas PH mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

"Selepas BN jatuh, ekonomi semakin teruk dan bisnes saya jatuh. Kerajaan PH telah menghalang agensi-agensi kerajaan dari menggunakan hotel saya," katanya menjelaskan hotel itu juga menerima tamu pelancong dari seluruh dunia.

Jamal berkata beliau berasa sedih kerana terpaksa melepaskan hartanah tersebut, namun ia perkara biasa dalam perniagaan.

"Walau bagaimanapun, hotel ini masih beroperasi seperti biasa dan tiada pekerja-pekerja terkesan.

"Saya berharap akan ada pembeli baru.

"Ramai yang telefon saya hari ini sebab mereka ingat saya bankrap dan sebagainya.

"Saya ok saja. Penjualan itu memang biasalah dalam bisnes," katanya.

Ketika era pemerintahan BN, Jamal terkenal kerana menganjurkan bantahan melaui NGOnya, Baju Merah.

Antara protes politiknya, Jamal pernah memecahkan botol arak, membawa van mayat dan muncul bertuala di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pada Mei tahun lalu, Jamal dikehendaki pihak berkuasa atas beberapa pertuduhan.

Dia melarikan diri ke Indonesia dan ditahan di Tebet, Jakarta Selatan.

Walaupun ketika itu diburu polis, Jamal tetap dipilih semula sebagai ketua bahagian Umno pada pemilihan parti lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS