Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon mengutuk perbuatan seorang warga emas yang dipercayai terlibat dalam perbuatan lucah melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, seperti yang tular dalam sebuah video di Whatsapp dan Facebook.

Beliau yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai jijik turut menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan berkenaan turut tampil membuat laporan.

“Saya juga menyeru kepada semua ibu bapa supaya memastikan bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan yang selamat. 

"Bagi kanak-kanak yang sudah besar sedikit, (mereka perlu) diterangkan tentang muhrim, serta sentuhan yang “dibolehkan” seperti bersalaman, bukannya belaian yang menimbulkan rangsangan,” katanya dalam satu kenyataan

Hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hassan dilapor sebagai berkata polis menahan seorang warga emas berusia 65 tahun yang dipercayai terlibat dalam perbuatan lucah melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Lelaki berkenaan yang merupakan seorang pemandu lori ditahan di lebuhraya Gopeng, Perak, kira-kira pukul 9.20 malam tadi dan kini direman selama enam hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

- Bernama