Paling Popular
Terkini

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa tiada yang bertanyakan soalan berkenaan Koperasi Jayadiri Sdn Bhd (Kojadi) milik MCA.

Beliau merujuk dakwaan Pengerusi Kojadi, Ng Peng Hay bahawa beliau dihalang untuk berjumpa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana berkaitan 1MDB.

Lim berkata Ng kini digantung daripada jawatan pengerusi kerana melakukan perkara yang benar.

"Tak ada orang minat (mengenai) Kojadi (dan dana berkaitan) 1MDB (yang) ada kaitan dengan MCA itu? Sebab anda kurang minat?

"Itu perkara penting. Sebab ada pengerusi yang digantung...Adakah ini boleh diterima? Maksudnya kita menghukum mereka yang benar, melepaskan mereka yang salah?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Ng berkata 14 ahli lembaga pengarah Kojadi memutuskan untuk menggantungnya daripada jawatan pengerusi, satu keputusan yang disifatkannya sebagai "dibuat sewenang-wenangnya dan tidak ada asas undang-undang".

Ng sebelum ini berkata Kojadi menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk skim kredit mikro untuk belia.

Susulan langkah SPRM memulakan saman pelucuthakan untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB, Ng berkata dia ingin berjumpa dengan SPRM tetapi dihalang Wee.

Wee bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata beliau hanya meminta Ng agar tidak bertindak tergesa-gesa, dan berunding dengan peguam dan mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah sebelum membuat keputusan.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat, Lim berkata Kementerian Kewangan akan menyiasat jika Kojadi menerima dana kerajaan lain menerusi pengaruh politik.

"Kojadi sebelum ini dapat wang kerana hubungan dan campur tangan sebuah parti politik," katanya tanpa menamakan parti politik tersebut.

"Tentu Kementerian Kewangan akan meneliti perkara itu, termasuk peruntukan yang dikeluarkan oleh kementerian kepada Kojadi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS