Keluarga Koh sambut baik anggota baru pasukan petugas khas
Susanna Koh yang merupakan isteri kepada paderi Raymond Koh, menyambut baik keputusan kerajaan membuat perubahan dalam Pasukan Petugas Khas yang meneliti "kehilangan paksa" suaminya dan aktivis Amri Che Mat.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan kemasukan dua anggota baru dalam Pasukan Petugas Khas itu iaitu Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Azian Umar dan pengamal undang-undang Roger Tan.
Pada 2 Julai lalu, Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor menarik diri dari Pasukan Petugas Khas itu susulan kebimbangan tentang keberpihakannya yang dibangkitkan keluarga Koh sebelum ini.
Bagaimanapun, Susanna dalam satu kenyataan terbarunya masih menyatakan kebimbangan terhadap keanggotaan Pasukan Petugas Khas itu termasuk bekas hakim Rahim Uda yang merupakan pengerusi, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Zamri Yahya dan pengarah operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Bukhari Abdul Hamid.
KDN dalam kenyataan media semalam menjelaskan keanggotaan Zamri adalah penting untuk membantu melicinkan perjalanan Pasukan Petugas Khas kerana JIPS mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis tampil memberi keterangan.
Anggota lain ialah pegawai perundangan di Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan setiausaha bahagian di Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri Mohd Russaini Idrus.

