BERITA Malaysiakini

Kain rentang 'Azmin cinta Haziq, tolak Anwar jadi PM' di Putrajaya

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Terdapat mesej yang mengejek Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengaitkannya dengan dakwaan skandal seks, manakala ada juga kain rentang yang mengatakan MP Gombak itu lebih layak menjadi perdana menteri berbanding Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurut seorang penjawat awam yang enggan dinamakan, kain rentang itu diletak di jejantas dan di tepi jalan di Precinct 14, Putrajaya.

"Kain rentang itu kelihatan ketika waktu sembahyang Jumaat tengah hari tadi. Ia tiada di situ ketika saya memandu di kawasan tersebut semalam," katanya kepada Malaysiakini.

Kain rentang yang merujuk kepada skandal seks tertera "Azmin Ali cinta Haziq Aziz" dengan cinta dirujuk melalui dua lambang hati berwarna merah, manakala terdapat tulisan "Hilman Frust (kecewa)" yang diapit dua simbol hati retak terbelah berwarna hitam.

Haziq Abdullah Abdul Aziz ialah bekas ketua Pemuda PKR (AMK) yang mengakui dirinya merupakan individu dalam klip video yang memaparkan adegan lucah dengan lelaki lain yang didakwanya sebagai Azmin.

Sementara itu Hilman Idhman (gambar) pula ialah setiausaha politik Azmin.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menyifatkan video itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan yakin ia kerja 'orang dalam parti'.

Sejak tersebarnya klip video itu, Anwar dan penyokongnya didakwa terlibat dalam kaitannya dengan spekulasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lebih memilih Azmin sebagai pengganti berbanding presiden PKR.

Anwar telah berulang kali menafikan penglibatan dalam video seks itu.

Dalam pada itu, satu lagi kain rentang berbunyi: "Kami sokong Azmin Ali sebagai perdana menteri kelapan. Mohon Dr Mahathir tolak Anwar Ibrahim."

Mengulas isu kain rentang ini, Setiausaha Khas kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, R Suresh Kumar berkata beliau tidak yakin orang PKR di belakang kerja-kerja tersebut.

"Ini macam kerja orang luar. 

"Kedua-dua kain rentang menyerang Anwar dan Azmin kelihatan menggunakan kain yang sama. Tulisannya pun sama," jelasnya.

[Baca berita penuh]