Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tawar sistem, khidmat nasihat pengisytiharan harta Adun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan satu sistem dan khidmat nasihat bagi kerajaan negeri melaksanakan langkah perisytiharan harta terhadap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Beebi Koya berkata perisytiharan harta itu bertujuan memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus.

“Usul mewajibkan perisytiharan telah diluluskan di Parlimen, jadi kini kami (SPRM) akan ke setiap negeri, supaya mereka (negeri-negeri) juga mengambil prinsip ini dan menerima usul berkenaan untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, di Kuching, Sarawak hari ini.

“Mereka (kerajaan-kerajaan negeri) perlu menunjukkan komitmen terhadap isu ini kerana pengisytiharan harta ini ada kebaikannya yang akan menampilkan sesebuah negeri itu komited untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata usaha Sarawak yang menempatkan seorang Pegawai Integriti di setiap jabatan dan agensi termasuk di Pejabat Ketua Menteri adalah satu langkah yang baik dan proses perisytiharan harta itu merupakan kesinambungan daripada usaha berkenaan.

“Itu perkara yang SPRM tekankan, kerana jika negeri mengadakan perisytiharan harta, ia memudahkan orang ramai untuk menilai dan mempercayai pentabdiran mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Latheefa berkata SPRM sedang menyiasat kes-kes melibatkan individu berprofil tinggi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.

“Namun, selagi kes ini masih disiasat, SPRM tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan dan SPRM akan membuat siasatan dengan adil,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor dipetik dalam media tempatan sebagai berkata sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS