Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim menasihatkan umat Islam di negara ini supaya jangan 'masuk campur' dengan perang jihad yang diisytiharkan oleh Afghanistan ke atas Amerika Syarikat.

"Kita tidak cukup syarat untuk masuk campur (dengan perang jihad). Kerajaan Afghanistan boleh mengisytiharkan jihad untuk tujuan mempertahankan negara dan rakyatnya," kata beliau yang juga pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Oleh itu, kata Dr Ismail, adalah menjadi kewajiban kepada rakyat Afghanistan (untuk menyertai perang jihad).

"Tetapi bagi orang lain, saya fikir kita tengok keadaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Etika dan Budaya Berpolitik daripada Perspektif Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, sesebuah kerajaan boleh mengisytiharkan perang jihad sekiranya ia diserang atau ada percubaan untuk mengusir kerajaan itu daripada negaranya.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai kesediaan rakyat Indonesia untuk menjadi sukarelawan bagi berjihad di Afghanistan. Berikutan sentimen anti-Amerika itu, Polis Republik Indonesia (Polri) mengawal ketat semua pejabat dan kediaman milik Amerika di Indonesia.

Khamis lalu, perang di Afghanistan dilaporkan semakin hampir apabila kerajaan Taliban memberikan isyarat bahawa negara itu bersedia menghadapi serangan Amerika Syarikat, daripada menyerahkan Osama bin Laden, orang yang paling disyaki oleh Amerika Syarikat kerana menyerang bandaraya New York, 11 September lalu.

Dr Ismail berkata, jika berlaku serangan ke atas Afghanistan, ia secara jelas bukannya dilakukan untuk menyerang Islam sebaliknya serangan pihak Amerika Syarikat itu adalah bertujuan mencari musuhnya.

"Amerika Syarikat menyerang Afghanistan atas sebab-sebab politik, bukan kerana dia negara Islam, dan ini berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan (oleh Amerika Syarikat). Yang tersirat disebalik itu bukan untuk kita analisa," katanya.