Suruhanjaya Tinggi Nigeria di Kuala Lumpur memberi jaminan kepada warganya bahawa langkah sedang diambil untuk mengelakkan kematian dalam tahanan seperti yang terjadi kepada pelajar PhD Orhions Ewansiha Thomas daripada berulang.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia dan menunggu laporan bedah siasat pelajar Universiti Lim Kok Wing itu.

"Suruhanjaya juga mengambil maklum kebimbangan warga Nigeria di Malaysia.

"Kami menjamin setiap langkah diperlukan sedang diambil berkenaan insiden malang ini untuk membetulkan keadaan dan mengelakkan perkara sama pada masa depan," katanya dalam kenyataan semalam.

Ia turut menggesa warga Nigeria di negara ini kekal tenang dan mematuhi undang-undang, sementara siasatan berhubung kematian Thomas ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen dijalankan.

Kenyataan itu susulan laporan protes yang diadakan di luar Suruhanjaya Tinggi di Jalan Ampang semalam, oleh sekumpulan warga Nigeria yang mendakwa kurangnya bantuan terhadap mereka yang berdepan masalah berkenaan visa dan akhirnya ditahan Jabatan Imigresen.

Menurut Free Malaysia Today, jurucakap NGO Nigerians In Diaspora Organisation Malaysia (Nido-My) Ahmed Adebanjo, mendakwa ramai warga negara itu ditempatkan di pusat depot Imigersen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan tetapi kedutaan perlu lebih berusaha. Melakukan yang terbaik sahaja tidak memadai. Mereka perlu lebih membantu warga Nigeria di sini.

"Kami tahu ada warga Nigeria yang buat masalah. Kami tak nafikannya dan polis hanya menjalankan tugas," katanya seperti dipetik.

Tetapi katanya ada juga yang mematuhi undang-undang tapi mati ketika cuba melepaskan diri daripada serbuan atau ketika ditahan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud semalam mengesahkan kematian Thomas pada 9 Julai lalu - lima hari selepas ditahan dalam satu serbuan - selepas didapati mengalami sawan ketika tidur.

Beliau begaimanapun berkata Thomas dan tahanan lain dilayan secara "berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP)".

Beliau berkata Thomas ditahan selepas ketulenan pas pelajarnya diragui kerana cuba melarikan diri ketika operasi jabatannya.

'Tahan 14 hari terlalu lama'

Sementara itu, Anggota Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang menggesa kerajaan meminda Akta Imigresen 1959/63 khususnya Seksyen 51 berkenaan tempoh penahanan maksimum 14 hari sebelum dibawa ke majistret.

"Tempoh lama ini memberi ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pegawai. Mengarut untuk sebuah agensi kerajaan di sebuah negara moden memerlukan dua minggu untuk mengesahkan dokumen yang mudah.

"Tempoh yang lama itu merendahkan kecekapan Jabatan Imigresen yang berkemampuan. Ia juga meningkatkan perbelanjaan kerajaan secara tidak perlu," katanya yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Beliau juga menggesa kerajaan menubuhkan inkues untuk menyiasat kematian itu.