Polis buru pencabul kanak-kanak
BernamaDiterbitkan: Jul 14, 2019 4:55 PM
Seorang lelaki dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di dalam sebuah kedai serbaneka di pusat bandar Country Homes, Rawang pada Rabu lepas, diburu pihak polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata pihaknya kini sedang mengesan lelaki itu susulan penularan video perbuatannya di media sosial yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut .
“Suspek yang belum dikenal pasti didapati telah merapati kanak-kanak itu sambil membuat perlakuan tidak senonoh sebelum melarikan diri.
“Aduan dibuat oleh ibu bapa mangsa pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Samsor, kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
- Bernama

