Kenapa Jokowi, Prabowo bertemu di MRT Jakarta?
GLOBAL | Semalam, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bertemu bekas pencabarnya, Prabowo Subianto yang pertama sejak pilihan raya berlangsung di republik itu pada April lalu.
Menariknya, lokasi pertemuan itu diadakan di stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Jakarta yang mula beroperasi baru-baru ini.
Jokowi dan Prabowo kemudiannya menaiki MRT itu bersama-sama dengan orang ramai.
Kedua-dua pemimpin berkenaan selanjutnya menaiki MRT menuju ke sebuah restoran di Senayan, Jakarta untuk makan tengah hari bersama.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi memberikan alasan mengapa stesen MRT Lebak Bulus di Jakarta menjadi pilihan pertemuan dua pesaing pilihan raya presiden Indonesia itu.
Budi dipetik CNN Indonesia menjelaskan selain suasana nyaman dan neutral, lokasi tersebut dipilih sebagai lambang 'kemajuan'.
"Satu tempatnya nyaman, dan netral. Kedua visioner, menuju ke depan, menuju hal yang modern," kata Budi yang ikut hadir pertemuan itu.
Jelasnya lagi, pertemuan itu memang disaksikan oleh masyarakat luas.
"Kan lebih mesra kalau di ruangan terbuka gini," kata Budi.
Semalam, Prabowo dipetik AFP berkata mahu menyampaikan ucapan tahniah secara berdepan kepada Jokowi.

“Ramai yang bertanya kenapa saya (Prabowo), masih belum menyampaikan ucapan tahniah kepada Jokowi, namun saya masih ada rasa hormat dan mahu menyatakannya secara berdepan.
“Tugas seorang presiden adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat dan beliau (presiden) bakal berdepan pelbagai cabaran dan saya sedia memberikan bantuan,” katanya sambil diperhatikan presiden Indonesia itu.
Sementara itu, Jokowi pula berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan bekas pencabarnya sebanyak dua kali sebelum melangsungkan pertemuan tersebut.
“Saya amat gembira dengan perancangan ini (menaiki MRT), kerana saya berpeluang bertemu dengan Prabowo Subianto.
“Jadi, saya harap penyokong kami akan mengikut jejak langkah ini, kerana kami juga adalah rakyat negara ini, dan wakil kepada rakyat.
“Oleh itu, marilah kita kembali bersatu sebagai sebuah negara kerana persaingan pada peringkat global semakin hebat dan kita perlu bersama-sama membangunkan negara ini,” kata Jokowi.

