Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geramm kecam tindakan usir wartawan bukan Melayu
Diterbitkan:  Jul 14, 2019 6:05 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan mengusir wartawan bukan Melayu daripada membuat liputan mesyuarat Umno bahagian Lembah Pantai hari ini.

Menurut Geramm pihaknya difahamkan pengacara majlis meminta wartawan dan jurugambar bukan Melayu meninggalkan majlis sejurus sebelum acara bermula pada kira-kira jam 2 petang di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya.

"Geramm menerima aduan terdapat #kawangeramm dari kalangan bukan Melayu, dipercayai wakil akhbar vernakular, yang telah diminta keluar dari membuat liputan mesyuarat Umno Bahagian Lembah Pantai hari ini.

"Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan persidangan orang Melayu dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan perasmian mesyuarat oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Geramm tindakan itu bukan sahaja menyekat kebebasan media, malah merupakan salah satu bentuk diskriminasi kaum.

Geramm turut menolak sebarang bentuk sekatan ke atas media, melainkan dengan alasan munasabah seperti faktor keselamatan.

"Semua media tanpa mengira latar-belakang bahasa mempunyai hak yang sama untuk mendapat akses kepada sumber-sumber berita.

"Geramm sekali lagi menggesa semua pihak untuk menghormati hak kebebasan media, serta bagi #kawangeramm untuk terus bersolidariti ke arah penubuhan Majlis Media Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat itu diadakan secara tertutup.

"Kadang-kadang pemberita tak berapa faham mereka tulis berita ucapan perasmian, boleh menyebabkan salah anggap dan keterlaluan.

“Sedangkan dalam parti lain seperti MCA dan DAP pun ucapan mereka keras tapi pemberita tak faham, maka tak tulis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan mesyuarat berkenaan hari ini.

Ismail berkata, sepatutnya pengerusi majlis mesyuarat tersebut menjelaskan mengenai situasi berkenaan dan meminta kerjasama daripada para pemberita.

"Ada pengerusi majlis yang berpengalaman dan ada juga yang baharu tapi saya tak pasti berkenaan hal tadi kerana mesyuarat bahagian Lembah Pantai, saya hanya menyempurnakan,” katanya.

Lihat Komen
ADS