Bekas Anggota Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dipilih sebagai pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang baru bagi menggantikan Dr Nasir Hashim yang meletakkan jawatan.

Dalam pilihan raya parti yang berlangsung selama tiga hari itu, bekas setiausaha agungnya, S Arutchelvan pula dipilih menggantikan M Sarasvathy sebagai timbalan pengerusi.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata. pilihan raya parti itu menandakan selesainya proses transisi kepimpinan yang telah bermula sejak 5 tahun lalu.

Menurutnya, jawatankuasa pusat parti itu juga dianggotai oleh majoriti wanita dan dia antara mereka juga memegang jawatan utama timbalan setiausaha agung, bendahari dan timbalan bendahari.

"Pilihan raya parti kali ini juga telah memperlihatkan beberapa muka baru dilantik ke jawatankuasa pusat seperti aktivis saudari Chong Yee Shan, saudari Kohila (seorang peguam aktivis), saudara Sharan Raj (aktivis anak muda) dan Teh Yee Cheu (bekas Adun Tanjung Bunggah, Pulau Pinang) dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan itu diadakan semasa Kongres Nasional PSM yang ke-21 bermula dari 12 hingga 14 Julai di Kajang.

Gerakan berminat jalin kerjasama

Menurut Sivarajan, buat pertama kalinya dalam sejarah kongres itu dihadiri pemimpin pembangkang dari Gerakan.

"Gerakan yang telah keluar dari Barisan Nasional, kini sedang bergerak independan dan berminat untuk bekerjasama dengan kuasa-kuasa progresif yang lain.

"PSM berharap penyertaan mereka pada kongres kami, akan membuka ruang untuk perbincangan lanjut," katanya.

Beliau berkata PSM dalam kongres berkenaan juga memutuskan untuk menubuhkan pejabat perhubungan negeri, sama seperti parti-parti politik lain.

Katanya beberapa kertas kerja juga telah dibentangkan semasa kongres berkenaan, termasuk mengenai dasar perubahan iklim dan kebangkitan sayap kanan populis.