Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Orang Asli Kuala Lipis dijangkiti Plasmodium Vivax Malaria

Sembilan Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, yang disyaki dijangkiti Plasmodium Vivax Malaria dirawat di hospital sejak semalam.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa lebih 10 penduduk Orang Asli jatuh sakit semalam, tetapi setakat ini hanya sembilan yang dimasukkan ke wad.

"Ini jenis Malaria yang paling bahaya. Penyakit ini telah dibendung pada masa dulu tetapi perkembangan baru ini menunjukkan ia telah kembali dan kini menjangkiti Orang Asli di Pos Lenjang," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Dr noor Hisham Abdullah mengesahkan seramai 15 Orang Asli di sana diserang wabak Malaria sejak 11 Julai.

Ia termasuk empat kanak-kanak, berusia empat hingga 10 tahun, dari Kampung Pagar dan Kampung Serdang.

"Semua kes dikenal pasti sebagai Plasmodium vivax malaria. Mereka semua dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pahang telah mengadakan semburan residual indoor dan mengagihkan kelambu kepada penduduk di kawasan yang terjejas.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Kuala Lipis dalam usaha mengenal pasti punca penyebaran penyakit itu, memandangkan kali terakhir kes Malaria dilaporkan berlaku ialah lapan tahun lalu.

Pada April lalu, seramai 13 penduduk Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, meninggal dunia.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengenal pasti mereka dilanda penyakit demam campak tetapi berkata pihak berkuasa masih meneruskan siasatan.

NGO Centre for Orang Asli Concerns berkata akar masalah ialah pemusnahan habitat asli masyarakat itu.


Lihat Komen
ADS