Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri tak adil buat tuduhan pada Najib, kata Annuar

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menganggap Nazri Aziz tidak bersikap adil apabila mendakwa bekas presiden mereka, Najib Razak, meminta untuk dilantik sebagai pengerusi BN, bukannya menjadi ketua lembaga penasihat gabungan berkenaan.

Kata Annuar, dalam keadaan Najib sekarang bekas perdana menteri itu tidak boleh menjadi pengerusi BN.

"Ia tak adil... macam mana kamu boleh tuduh begitu?" katanya.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh memberitahu untuk menjadi pengerusi BN, seseorang tidak boleh dilantik begitu saja.

Sebaliknya, kata Annuar, hanya pemimpin sesebuah parti komponen dalam BN boleh dilantik.

"Kamu tak boleh jadi pengerusi (BN) dengan terus jadi pengerusi jawatankuasa penasihat. Perlembagaan BN sangat jelas.

“Najib kena jadi presiden MCA, MIC atau Umno (terlebih dulu), itu tidak bebangkit sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ia bukan isu

Semalam, Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas itu berkata Najib mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama parti berkenaan dengan PAS.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke?

"Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru... cukuplah," katanya lagi ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas.

Turut memberi kritikan terhadap pelantikan Najib ialah bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Umno bersikap terbuka dengan pandangan yang berbeza.

Katanya, kritikan dibuat Nazri dan Khairy bersifat peribadi dan tiada masalah dengan pandangan tersebut.

Pada masa sama, Annuar berharap isu pelantikan Najib tidak dibincangkan "terlalu jauh" dan "terlajak".

“Saya fikir benda ni dah dibincang terlebih, terlajak daripada isu sebenar.

"Sedikit elok, tak perlu ahli-ahli parti bawa pergi (isu ini) terlalu jauh. Ia bukan isu, bukan hal berkaitan disiplin pun, hanya keputusan pentadbiran sahaja," katanya sambil berharap anggota Umno menghormati keputusan yang dibuat.

Lihat Komen
ADS