Irwan: K'jaan BN utamakan belanja pengurusan berbanding bayaran balik GST
LAPORAN PAC | Kerajaan terdahulu tidak melayan tuntutan pembayaran semula GST yang sah apabila mereka tidak mampu berbuat demikian, kata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan hari ini, Irwan berkata Kementerian Kewangan mengutamakan perbelanjaan pengurusan kerajaan.
"(Irwan menjelaskan) jika terdapat lebihan, maka keputusan akan dibuat untuk membayar mereka yang meminta bayaran semula tersebut, walaupun tuntutan oleh pembayar cukai telah dilangsaikan dan mematuhi semua prosedur," menurut laporan tersebut.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir berkata bahawa jika Kementerian Kewangan membenarkan pembayaran semula GST dibuat pada masa itu, ia akan memburukkan lagi keadaan defisit bajet dan menjejaskan penarafan kredit negara.
Badri sebelum ini timbalan kepada Irwan sebelum pertukaran kerajaan pada Mei 2018.
Laporan itu juga menyebut Jabatan Kastam sebagai berkata bahawa Tabung Amanah GST, setakat 31 Mei 2018, hanya mengandungi RM152 juta.
"Jumlah ini tidak cukup untuk membayar tuntutan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion," katanya.
Meskipun membuat kesimpulan bahawa "tiada wang yang hilang", PAC berkataTabung Amanah GST tersebut tidak mencukupi kerana wang tersebut digunakan untuk tujuan lain.
Jawatankuasa itu juga menyimpulkan bahawa pentadbiran terdahulu melanggar Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kerana memasukkan wang GST ke dalam akaun hasil disatukan.

