Bersatu mengikut langkah PKR selepas majlis pimpinan tertingginya bercadang memberi peluang kepada semua ahlinya mengundi pada pemilihan parti.

Namun berbeza sedikit berbanding PKR yang memberi hak untuk setiap ahli memilih pimpinan tertinggi, Bersatu hanya bercadang membenarkan ahlinya mengundi di peringkat bahagian dan cawangan sahaja.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad berkata partinya akan mengadakan mesyuarat khas untuk meminda perlembagaan parti agar setiap ahli diberikan hak mengundi pada pemilihan parti.

“Kami melakukan pindaan supaya semua anggota memainkan peranan. Saya telah berbincang panjang dan majlis tertinggi telah bersetuju,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang tadi.

Menurutnya, ahli biasa akan memainkan peranan dalam menentukan pemilihan jawatankuasa bahagian dan cawangan.

“Daripada bahagian, perwakilan akan menentukan pemilihan majlis pimpinan tertinggi parti,” tambahnya.

Perdana Menteri turut berkata setiap anggota parti termasuk daripada akar umbi akan diberikan peluang bertanding untuk semua jawatan dalam parti.

“Mereka perlu berdaftar sebagai ahli sebelum mendaftar bagi bertanding untuk jawatan Presiden, Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan sebagainya,” jelas beliau.

“Kami akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Julai ini untuk membuat keputusan pemindaan dalam perlembagaan,” tambah beliau.