PAS tolak sertai PH, tetap ‘taawun’ dengan Umno
PAS menegaskan pihaknya akan terus bersama Umno dalam membentuk kerajaan di masa akan datang, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempelawa PAS menyertai gabungan itu sebelum ini.
“PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan, sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera akan terus bertaawun dengan Umno dan BN untuk menubuhkan kerajaan, sama ada sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan semestinya selepas PRU 15.
“PAS di masa ini akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan agenda perpaduan ummah bersama Umno di samping tidak meninggalkan parti-parti BN lain serta rakan-rakan BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jumaat lalu, Naib Presiden Amanah, Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan Umno sia-sia.
Beliau dilaporkan berkata jika PAS menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata PH bersikap terbuka jika PAS berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini.
Menurut Mukhriz lagi, sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun pihak PAS diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain
Sementara itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu, turut yakin muafakat antara PAS dan Umno merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.
“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti Blok Pembangkang di masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” katanya.

