Penduduk di beberapa kawasan Lembah Klang akan berdepan gangguan bekalan air selama tiga hari mulai 23 Julai kerana kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Menurut pengumuman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), daerah-daerah yang terlibat ialah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Gangguan berkenaan akan bermula pada jam 9 pagi 23 Julai dan dijangka pulih antara jam 9 malam pada 25 Julai dan 9 malam pada 26 Julai.

Ia berikutan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dijalankan di loji rawatan air di seluruh Selangor.

Kawasan yang terjejas boleh disemak di sini. 

Pada April lalu, kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2.

Berikutan itu pengguna di Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Petaling, Kuala Langat dan Gombak juga menghadapi gangguan bekalan air selama tiga hari.