Dalam langkah terbaru untuk mengawal wabak penyakit tangan, kuku dan mulut (HFM), Kerajaan Sarawak mengarahkan murid sekolah rendah di negeri itu supaya tidak menghadiri sesi persekolahan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan berkata, murid tahap satu hingga tiga di semua 1,256 sekolah rendah di negeri tidak perlu ke sekolah selama seminggu mulai 20 Mac ini.

Pada masa ini, sekolah ditutup kerana cuti penggal selama seminggu sehingga 19 Mac ini.

"Kelas tahap satu, dua dan tiga telah diarahkan ditutup mulai 20 Mac," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengarahkan semua tadika dan taska di Sarawak ditutup sebelum merebaknya penyakit tersebut.

Setakat ini, tujuh kanak-kanak di negeri itu telah meninggal dunia kerana penyakit tersebut.

Chan berkata, sejumlah 4,827 kes penyakit tangan, kuku dan mulut dilaporkan di negeri itu sejak wabak tersebut bermula awal tahun ini.

Tinggal di rumah

Penyakit tersebut juga telah dikesan di negara jiran Brunei, yang setakat ini telah mengorbankan seorang kanak-kanak.

Pihak berkuasa kesihatan telah menasihatkan ibu bapa supaya anak-anak mereka tinggal di rumah, manakala Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek mencadangkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibawa ke Semenanjung Malaysia bagi mengelak penyakit merebak.

Penyakit tangan, kuku dan mulut mengakibatkan sakit pada bahagian mulut, ulser tekak dan lepuh pada tangan dan kaki serta mengalami demam.

Wabak tersebut pernah berlaku di Sarawak sebelum ini, yang paling teruk pada 1997 yang mengorbankan 31 mangsa.

- AFP