Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menerima hakikat bahawa era minyak murah sudah berakhir dan harga bahan bakar itu akan terus meningkat.

"Kesimpulannya, era minyak murah...`"cheap oil" sudah berakhir'. Ini realiti yang mesti diterima rakyat Malaysia dan dunia keseluruhannya.

"Kita tidak boleh lindung lagi bahawa harga minyak akan terus naik dan era minyak yang murah sudah berakhir," katanya dalam taklimat khas kenaikan harga minyak untuk kakitangan Kementerian Penerangan, di Auditorium Angkasapuri malam tadi.

Pada 28 Februari lalu, kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga petrol dan produk petroleum sebanyak 30 sen seliter.

Bernama melaporkan, keputusan untuk menaikan harga minyak ini disifatkan sebagai satu tindakan berani yang terpaksa dilakukan berikutan lonjakan harga minyak di pasaran dunia.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal menegaskan kementeriannya terus menggiatkan usaha pemantauan terhadap kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga minyak.

Majlis taklimat

"Pada waktu inilah ramai peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan keperluan. Kami di kementerian giat menjalankan pemantauan dan saya sendiri turut turun padang menjalankan pemantauan," katanya pada majlis taklimat itu.

Shafie berkata Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) memantau harga 255 jenis barang keperluan di 63 buah daerah di seluruh negara setiap minggu.

Selain itu, kementerian juga membuka talian bebas tol yang beroperasi 24 jam sehari dari Isnin hingga Ahad bagi menerima aduan orang ramai sekiranya terdapat kes peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang.

"Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang peniaga yang menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya boleh mengadu terus kepada kementerian di Putrajaya atau mana-mana cawangan KPDN & HEP di seluruh negara," katanya.

Talian bebas tol KPDN & HEP adalah 1-800-886-800. Aduan juga boleh dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 36663.

Shafie berkata setakat ini, kementerian menerima 4,000 aduan sehari dan beliau percaya jumlah itu akan bertambah.

"Apa yang saya harapkan ialah masyarakat pengguna dapat berhubung dengan kementerian tetapi jika tidak dapat pada ketika itu, cuba lagi demi membanteras perbuatan yang tidak bermoral sesetengah peniaga," katanya.

'Kekeliruan masyarakat'

Pada majlis itu juga, Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin turut menekankan peranan media dalam menyampaikan maklumat kerajaan kepada rakyat dengan jelas dan terang.

Katanya penekanan kepada perkara tersebut adalah penting dalam usaha menjayakan hasrat kerajaan dan dalam masa yang sama mengelakkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat.

Zainuddin berkata kecekapan pihak media dalam menyampaikan maklumat juga penting bagi mengelakkan unsur negatif menular lebih cepat dan meracuni pemikiran rakyat.

"Kecekapan media dalam menyampaikan maklumat rasional kenaikan harga minyak dapat dilihat sewaktu sesi wawancara khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang ditayangkan di TV1 kerana dalam tempoh 24 jam satu kenyataan yang lengkap dapat dikeluarkan.

"Inilah yang kita mahukan bagi mengelakkan pemikiran rakyat diracuni dengan unsur negatif yang merosakkan," tegasnya.

Majlis taklimat itu dihadiri kira-kira 800 orang kakitangan agensi di bawah Kementerian Penerangan.

Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Chia Kwang Chye.