Lembaga pengarah Killinghall (M) Bhd pemegang saham utama Southern Bank Berhad (SBB) akan memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat yang boleh, berhubung tawaran semula Bumiputra-Commerce Holdings Bhd (BCHB).

Dalam kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia semalam ia berkata, EGM itu akan membincangkan dan menentukan sama ada akan menerima cadangan tawaran yang dikaji semula itu sepertimana dan bila ia dibuat BCHB.

Semalam, BCHB mengumumkan pengambilalihan dikaji semula RM6.7 bilion SBB satu janji niaga korporat terbesar dalam sejarah negara.

"Jika pemegang-pemegang saham syarikat meluluskan penerimaan cadangan tawaran yang dikaji semula itu pada EGM tersebut, maka syarikat akan mengundi memihak kepada pemilikan SSB yang dikaji semula itu," katanya.

Mengenai EGM SBB pada 29 Mac depan, Killinghal berkata ia merancang untuk membentangkan dan mengundi memihak kepada usul untuk menangguhkan mesyuarat itu ke satu tarikh tidak awal daripada 15 Mei 2006.

'Undi tangguh EGM'

Menurut laporan Bernama, Ini ialah bagi membolehkan EGM SBB bagi cadangan pemilikan SBB yang dikaji semula itu, diadakan oleh lembaga SBB sebelum itu.

"Jika ini dilakukan, maka tidak perlu diadakan mesyuarat yang ditangguhkan itu," katanya.

Mengikut tawaran yang dikaji semula itu, BCHB akan membayar RM4.30 setiap saham SBB dan RM2.56 setiap waran SBB, di samping lima sen dividen sesaham.

Pemilikan itu akan dibuat melalui CIMB, unit BCHB. Syarikat itu sebelum ini menawarkan RM4.15 sesaham, yang ditolak oleh lembaga SBB.