Kerajaan sedang menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata kerajaan dijangka membentangkan pindaan kepada OSA tahun depan bagi membendung ketirisan maklumat.

"Pindaan ini dijangka akan dibentangkan di parlimen pada tahun 2020 setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri," katanya kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab hari ini.

Sementara itu, Hanipa berkata pindaan ke atas Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) pula tidak akan menjejaskan objektif dan fungsi Program Perlindungan Saksi.

"Kerahsiaan yang digariskan adalah bagi maksud kesaksian itu sendiri dan kaum keluarga yang mungkin terjejas sekiranya skop keterbukaan dan ketelusan diluaskan kepada saksi.

"Saksi perlu dilihat sebagai aset penting yang perlu dilindungi segenap aspek dan sebarang ketirisan mampu menjejaskan Program Perlindungan Saksi," katanya.

Beliau berkata pada masa ini satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi menyemak Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan masih dalam peringkat mengumpulkan input-input serta kajian bagi menambah baik akta tersebut.