Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek kecewa dengan tindakan tujuh pelajar dan empat guru dari Sarawak yang tidak mengendahkan nasihat kementeriannya supaya tidak melawat Semenanjung bagi mengelak merebaknya penyakit kaki, tangan dan mulut (HFM).

Pelajar dan guru dari Sarawak yang menyertai aktiviti anjuran Pandu Puteri Malaysia di Perlis dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam kerana disyaki

menghidap HFM.

Kesemua mereka dikesan mengalami demam dan sebahagian daripada tanda-tanda jangkitan penyakit itu dan kini ditempatkan di dua wad isolasi.

Pelajar terbabit berumur antara 13 dan 15 tahun manakala guru mereka berusia antara 30 dan 40 tahun itu, kesemuanya perempuan.

"Mereka akan berada di sana (HTF) sehingga ujian dijalankan. Kita di Semenanjung dan Kementerian Kesihatan mengambil berat tentang perkembangan terbaru ini," kata Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, walaupun kes penyakit itu pernah berlaku di Semenanjung dan tidak seteruk di Sarawak, namun kementerian tetap mengambil berat akan penyakit itu.

Mengenai arahan penutupan 488 tadika dan taska di Sarawak sejak 3 Mac lalu, Dr Chua berkata akan dilanjutkan selama seminggu lagi sehingga 26 Mac, memandangkan kes bertambah setiap hari.

Penutupan tadika dilanjutkan

"Walaupun jumlah yang dijangkiti semakin menurun, tetapi ia masih pada keadaan 100 sehingga 200 kes. Ini membimbangkan kita. Dengan itu, kami membuat keputusan supaya semua taska, tadika dan prasekolah ditutup seminggu lagi sehingga 26 Mac ini," katanya.

Jabatan Pendidikan Sarawak pula telah mengarahkan semua kelas sekolah rendah di Sarawak membabitkan tahun satu hingga tahun tiga ditutup selama seminggu mulai 20 Mac ini bagi mengelak penyakit kaki, tangan dan mulut daripada terus merebak.

Perangkaan terbaru menunjukkan jumlah kes wabak itu mencecah 4,827 kes di Sarawak dengan sejumlah 254 kes terbaru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Dr Chua turut menasihatkan ibu bapa dan guru di Sarawak supaya memberi perhatian terhadap penyakit itu kerana Kementerian Kesihatan masih menerima laporan yang menunjukkan golongan berkenaan tidak memandang serius walaupun kes jangkitan meningkat dengan banyaknya.

Sebagai contoh, katanya, dengan mematuhi nasihat pihak berkuasa kesihatan dan Jabatan Pendidikan negeri supaya pelajar bawah umur 10 tahun tidak berada di khalayak ramai seperti kolam air dan pusat membeli-belah memandangkan penyakit terbabit mudah merebak melalui air liur.

"Mereka ini sepatutnya tidak berada di tempat seperti itu (bagi mengelak daripada dijangkiti) tetapi malangnya ia masih berlaku," katanya.

Keluar esok

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perlis Dr Azmi Hashim berkata, pelajar dan guru terbabit akan dibenarkan pulang esok setelah disahkan sihat.

Katanya, mereka adalah 630 peserta dan guru pengiring yang sepatutnya menyertai perhimpunan Pandu Puteri Malaysia di Wang Kelian dekat sini mulai 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, mereka belum sempat menyertai perhimpunan itu apabila ujian ujian kesihatan oleh pasukan khas yang ditempatkan oleh Jabatan Kesihatan Perlis di tapak perhimpunan itu mendapati mereka mengalami tanda-tanda jangkitan itu seperti demam.

"Mereka kini telah sihat dan akan dibenarkan keluar esok," katanya.