Konsulat Thailand di Kota Bharu menyasarkan lebih 100,000 pengunjung ke Festival Produk dan Makanan Halal Thailand 2019 yang akan berlangsung selama enam hari bermula 30 Julai di sini.

Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, buat julung kali, festival itu melibatkan lima wilayah di negara itu iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Songkhla.

“Selain mempromosikan makanan dan produk Thailand, festival ini juga dilihat dapat mengukuhkan kerjasama ekonomi dan kebudayaan antara dua negara,” katanya pada sidang media di Pejabat Konsulat Thailand di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata festival berkenaan yang akan berlangsung di perkarangan lot parkir Pasaraya AEON Mall Kota Bharu menampilkan sebanyak 64 gerai jualan termasuk 30 gerai makanan dan juga kraftangan, aksesori dan sebagainya.

“Festival ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan dijangka dihadiri lima gabenor wilayah berkenaan.

Beliau berkata, bagi memberi kelainan pada festival kali ini, persembahan tarian, seni bela diri dan pameran kebudayaan dari lima wilayah berkenaan turut diadakan.

“Kami juga mengundang semua usahawan Kelantan untuk mengunjungi festival ini bagi bertukar pendapat dan menjalin kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata festival yang sama juga pernah dianjurkan di lebih 60 bandar di seluruh dunia.

- Bernama