Paling Popular
Terkini

Jika Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) tidak menyalurkan RM42 juta ke dalam dua akaun bank Najib Razak, dari mana datang wang itu?

Persoalan itu dibangkitkan dalam keterangan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Y1RM Ung Su Ling semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Ashrof Adrin Kamarul hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, saksi lain - pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Shamsul Anwar Sulaiman - memberi keterangan bahawa beliau telah memindahkan RM42 juta itu tetapi berkata dia tidak tahu bagaimana wang itu masuk ke akaun Ihsan Perdana.

Shamsul berkata ia dianggap berasal dari YR1M. Bagaimanapun, kesaksian Ung hari ini menafikan wang berkenaan datang dari YR1M.

Ung berkata, almarhum Azlin Alias, yang juga setiausaha swasta Najib dan juga salah seorang pemegang amanah YR1M, telah menghubunginya pada 24 Disember 2014, dan mengarahkannya untuk memaklumkan kepada pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Shamsul Anwar Sulaiman agar memindahkan RM27 juta dan RM5 juta ke akaun AmBank yang berakhir dengan 880 dan 906.

IPSB adalah rakan kongsi kerja YR1M dalam menjalankan kerja-kerja komuniti. Hubungan itu berlangsung dengan cara YR1M adalah salah satu daripada pembiaya IPSB dan IPSB akan melaksanakan projek-projek untuk yayasan berkenaan apabila diarahkan.

Ketika memberi keterangan dalam kes perbicaraan SRC Najib, Ung berkata pada Februari 2015, Azlin sekali lagi mengarahkannya untuk memerintahkan Shamsul memindahkan wang ke dalam akaun '880'.

Amaun yang diminta ketika itu ialah RM10 juta. Ung menegaskan bahawa wang itu dipindahkan ke akaun IPSB, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada dia tahu siapa yang memindahkan wang berkenaan.

"Merujuk kepada RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta (dipindahkan ke akaun AmBank '880' dan '906' Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015) yang berjumlah RM42 juta, saya mengesahkan bahawa wang itu bukan dana YR1M.

"Saya diberitahu oleh Azlin untuk mengarahkan Shamsul memindahkan wang ke dalam akaun berkenaan. Saya dimaklumkan bahawa semua wang itu adalah untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR)," kata Ung.

Ung menambah bahawa pada masa itu, dia tidak tahu bahawa akaun berkenaan milik Najib.

Keterangan Ung hari ini mengesahkan kesaksian Shamsul sebelum ini yang memberitahu mahkamah bahawa dia telah mengarahkan pemindahan dana selepas menerima arahan daripada Ung.

Shamsul juga memberi keterangan bahawa pada masa pemindahan, dia tidak tahu bahawa akaun AmBank itu milik Najib.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu bahawa wang SRC International telah masuk ke dalam akaun IPSB sehingga pihak berkuasa memulakan penyiasatan terhadap syarikat itu.

"Kami tidak tahu dari mana wang itu datang, kami agak bahawa wang itu datang dari pembiaya (1MDB dan YR1M)," kata Shamsul.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS