Terjemahan Kerajaan Negeri Melaka memutuskan tidak akan menutup ladang ternakan babi di negeri itu, kecuali sebuah ladang ternakan di Melaka Tengah, dalam mesyuarat exco negeri semalam.

Berikutan itu, pemilik ladang ternakan di Melaka Tengah itu, Chin Nam Yee (foto), diberi tempoh sehingga 30 April ini untuk mematuhi arahan tersebut.

Dan usaha untuk menyelamatkan ladang ternakannya itu, Chin, yang memiliki 5,000 ternakan dan berkemungkinan kerugian berjuta-juta ringgit, telah memfail permohonan di mahkamah untuk membatalkan arahan tersebut.

"Saya perlu masa sekurang-kurangnya setahun untuk menutup ladang ternakan tersebut bagi meminimakan kerugian saya. Mereka (kerajaan negeri) mahu saya melakukannya dalam tempoh sebulan," katanya ketika dihubungi.

Manakala 81 ladang ternakan yang terletak di Paya Mengkuang dan Kuala Sungai Baru terselamat daripada arahan penutupan itu.

Semua penternak terbabit hanya diperlukan mengemuka pelan kawasan dan foto berkaitan ladang mereka, kepada MCA yang kemudiannya akan mengemukakannya kepada kerajaan negeri.

Dengan bantuah Seah

Keputusan tersebut dibuat ekoran mesyuarat exco kerajaan negeri semalam serta usaha gigih ahli Exco MCA, Datuk Seah Kwi Tong (foto).

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyelamatkan ladang ternakan milik Chin. Apa yang dapat dilakukannya sekarang ialah meminta kerajaan negeri supaya melanjutkan tempoh penutupan ladang tersebut.

"Pada mulanya, saya telah merayu kepada kerajaan negeri supaya menangguhkan tempoh penutupan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lagi, tetapi ahli exco yang lain merasakan tempoh satu bulan setengah sudah mencukupi," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengarahkan supaya kesemua 82 ladang ternakan di Melaka ditutup melalui surat yang dihantar kepada penternak terbabit oleh Jabatan Veterinar dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Pada mulanya, dalam surat tersebut, penternak terbabit diberi tempoh sehingga semalam untuk menutup ladang mereka. Sejak 40 tahun lalu, para penternak babi di Melaka gagal mendapat kelulusan daripada majlis perbandaran.

Selepas menerima surat tersebut, para penternak terbabit telah meminta bantuan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang kemudiannya memberitahu pihak media yang penternak terbabit perlu mengemukakan pelan kawasan ladang dan membaiki sistem pembentungan dan menukar status penggunaan tanah mereka.

Menurut Seah lagi, penternak terbabit mesti mengemukakan pelan kawasan ladang dan foto berkaitan ladang mereka kepada MCA pada 31 Mac ini.

Sejak menerima surat tersebut, penternak berkenaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan bantahan di luar kediaman Seah dan mengiklankan masalah mereka dalam sebuah akhbar harian bahasa Cina.

Mereka telah juga mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Sistem pembentungan

Sementara itu, Seah berkata, MCA telah mendapatkan khidmat seorang arkitek dan juruukur untuk membantu penternak terbabit menyediakan pelan kawasan ladang mereka.

Jika pelan tersebut diluluskan oleh majlis perbandaran, katanya, mereka kemudiannya perlu mengemukakan pelan senibina dan pelan struktur bagi ladang mereka.

"Selepas pelan kawasan ladang mereka diluluskan oleh pihak berkuasa, MCA akan membantu usaha menaiktaraf sistem pembentungan mereka," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan penternak yang kerajaan negeri tidak pernah memberi garispanduan yang jelas mengenai sistem pembentungan ladang.

Bagaimanapun, Seah berkata, beliau dapat meyakinkan ahli exco negeri yang lain supaya membenarkan penternak mengemukakan pelan kawasan ladang terlebih dahulu, sebelum menaiktaraf sistem pembentungan mereka. Berita asal