Enam minggu naik taraf ladang babi di Melaka
Kerajaan Melaka memberi masa enam minggu kepada 81 penternak babi di kawasan Paya Mengkuang (55) dan Kuala Sungai Baru (26) dalam daerah Alor Gajah, untuk memastikan ladang ternakan mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan kerajaan negeri.
Kerajaan Melaka memberi masa enam minggu kepada 81 penternak babi di kawasan Paya Mengkuang (55) dan Kuala Sungai Baru (26) dalam daerah Alor Gajah, untuk memastikan ladang ternakan mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan kerajaan negeri.
Exco Kerajaan Negeri, Md Yunus Husin berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat mingguan exco yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam semalam.
Katanya, jika penternak terbabit tidak mematuhi arahan tersebut, maka kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas, termasuk menutup ladang ternakan mereka.
"Penternak diberi beberapa pilihan, iaitu menaiktaraf ladang dan pengurusan; memindahkan operasi ke negeri lain'; menjual; menghapuskan ternakan atau menutup ladang babi di Paya Mengkuang.
"Penternak terbabit, bagaimanapun tidak dibenarkan membuka pusat ternakan baru di Melaka kerana kerajaan negeri menetapkan pusat ternakan babi hanya di Paya Mengkuang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, malaysiakini difahamkan, mesyuarat exco negeri memutuskan Paya Mengkuang sebagai pusat ternakan babi, tetapi MCA merayu supaya penternak di Kuala Sungai Baru dibenarkan menaiktaraf ladang mereka, untuk dipertimbang untuk dibenar meneruskan operasi mereka.
Menurut Md Yunus lagi, kerajaan negeri tidak akan berlembut lagi dengan penternak babi kerana mereka sudah diberi masa yang cukup untuk menaiktaraf ladang ternakan mereka di Paya Mengkuang.
Katanya, arahan tersebut sudah dikeluarkan sejak lebih dua tahun lalu tetapi penternak terbabit tidak mengambil berat terhadap arahan tersebut.
Bukan isu perkauman
Katanya, kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada penduduk kawasan Kuala Sungai Baru mengenai pencemaran air dan bau yang dihasilkan dari ladang babi tersebut.
"Jumlah babi yang diternak di ladang tersebut lebih daripada 100,000 ekor sedangkan keperluan untuk seluruh penduduk Melaka ialah 48,000 ekor," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan tersebut bukan kerana isu perkauman tetapi semata-mata untuk kepentingan seluruh rakyat.
Menurutnya, kerajaan juga tidak akan memberikan sebarang bantuan kepada penternak babi yang menaiktaraf ladang mereka atau memindahkan operasi ke negeri lain.
"Tetapi bantuan akan diberi kepada penternak yang mahu mengusahakan ternakan lain di kawasan terbabit," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui badan penguatkuasa dan pihak berkuasa tempatan akan memantau kawasan ternakan babi Paya Mengkuang bagi memastikan penternak terbabit mematuhi arahan yang dikeluarkan.

