Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian warga Nigeria: EAIC rancang langkah seterusnya

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) masih menunggu laporan bedah siasat terperinci berkenaan kematian pelajar PhD warga Nigeria Orhions Ewansiha Thomas ketika dalam tahanan imigresen baru-baru ini.

"Siasatan awal telah dilakukan untuk mengesahkan laporan dan maklumat diterima. Pada tahap ini, EAIC belum menerima laporan post-mortem.

"Suruhanjaya akan buat keputusan berkenaan keperluan mewujudkan pasukan petugas untuk menyiasat kesalahan mana-mana pegawai imigresen, sebaik menerima laporan post-mortem," kata Pengerusi EAIC A Aziz Rahim kepada Malaysiakini semalam.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz semalam mengumumkan tiada tanda kecederaan fizikal di badan Thomas, tetapi laporan polis hanya akan dikeluarkan apabila semua ujian makmal diperolehi.

Thomas mati di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu, selepas ditahan selama lima hari.

Menurut Jabatan Imigresen, dia yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan pengurusan di Universiti Lim Kok Wing mati selepas sawan ketika tidur.

Suruhanjaya Tinggi Nigeria berkata pihaknya sedang menjalankan usaha untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Aziz berkata EAIC sentiasa membuat pemeriksaan dan audit terhadap pusat tahanan imigresen seluruh negara, dan memberikan senarai 13 pusat tahanan dan tarikh pemeriksaan ketika memberi maklum balas kepada soalan Malaysiakini.

Untuk Depot Imigresen Bukit Jalil, Aziz berkata pemeriksaan mengejut (spot check) diadakan pada 7 September 2017 dan 15 Julai 2019, dan semuanya didapati berjalan dengan baik.

"EAIC mendapati Depot Imigresen Bukit Jalil mematuhi prosedur operasi standard Kementerian Dalam Negeri dan aturan ketua pengarah berkenaan pentadbiran dan pengurusan pusat tahanan.

"Pengendalian depot didapati diuruskan dengan baik dan mematuhi peraturan sedia ada," katanya lagi.

Aziz antara lain berkata EAIC mendapati tiada tanda tahanan dilayan dengan buruk, dan semua tahanan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh kakitangan kesihatan sepenuh masa ketika mula ditahan.

Katanya lagi, pembantu pegawai perubatan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap tahanan secara kerap.

"Rawatan kesihatan bermula ketika tempoh awal hingga akhir penahanan. Kemudahan perubatan luaran (klinik atau hospital) diberikan mengikut keperluan dan jika dicadangkan pembantu pegawai perubatan.

"Jika rawatan di klinik dan hospital diperlukan, tahanan akan dibawa keluar dan diiringi pegawai imigresen," kata Aziz.

Katanya lagi, tahanan juga diberi hak menerima pelawat termasuk keluarga, pegawai kedutaan dan NGO.

Selain itu, jika keluarga ditahan, mereka dibenarkan berjumpa di bawah pemantauan, dan ada bilik khas untuk kanak-kanak bermain dengan ibu bapa mereka.

"Tempat bersenam dan hiburan tahanan juga disediakan," katanya lagi.

Secara keseluruhan, Aziz berkata pihaknya menerima 178 laporan terhadap Jabatan Imigresen sejak 2012 hingga Jun 2019.

Hanya empat melibatkan tahanan warga asing tanpa dokumen, katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS