Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setahun tempoh bersihkan kilang plastik, tapak sampah haram - Zuraida

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya enam bulan untuk membersihkan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, 40 kilang plastik haram yang dikenal pasti di seluruh negara diarah tutup dengan dua daripadanya didakwa di mahkamah, manakala dua lagi dalam proses pembersihan.

"Saya berharap boleh melaksanakan tugas ini dalam tempoh enam bulan ke setahun untuk bersihkan semua kilang plastik haram, not only plastic but illegal dumping site (bukan sahaja plastik malah kawasan pelupusan haram).

"Ini juga untuk bersihkan imej Malaysia, tidak benar bila kita dilabel negara import sampah, ia satu exaggeration (keterlaluan), satu perkara yang telah dibesarkan. Maka menjadi tanggungjawab kementerian untuk menyelesaikan masalah ini," katanya di Ipoh, hari ini.

Zuraida bercakap kepada pemberita selepas melawat Resourceco Asia (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian IBG, Tasek, sebuah kilang memproses bahan buangan termasuk plastik untuk dikitar semula menjadi 'Processed Engineered Fuel' (PEF) iaitu bahan bakar alternatif untuk pemprosesan simen.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata pihaknya melihat teknologi yang diguna pakai oleh Resourceco sangat sesuai untuk membantu membersihkan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram dalam negara.

"Ini sangat baik, boleh digunakan untuk membersihkan tempat yang telah disita kerana sekarang tiada tempat untuk lupuskan (plastik atau sampah), tiada syarikat mahu ambil alih (kerja pembersihan)," katanya.

Selain itu, kementerian juga telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat tempatan untuk penggunaan teknologi dikenali sebagai 'The Asher' bagi tujuan pembersihan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram.

Katanya 'The Asher' yang menggunakan teknologi 'pyrolysis plasma' adalah sejenis alat mudah alih untuk membakar sampah dan hanya menghasilkan empat peratus sisa yang kemudian boleh diguna sebagai baja serta bahan pembuatan bata.

- Bernama

Lihat Komen
ADS