Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Teguran Jabatan Audit Negara bahawa pembinaan rumah mampu milik di Kelantan tidak mencapai sasaran dianggap sebagai salah faham oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun kata Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah pihaknya mengambil maklum dan menghormati teguran tersebut.

"Cuma dalam kes spefisik berkaitan rumah mampu milik ini ada sedikit kekeliruan dalam pemahaman (Jabatan) Audit Negara," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Menurut Mohd Amar, Kelantan sudah mencapai sasaran untuk membina 5,000 buah rumah mampu milik dan perkara itu juga dibentangkan pada persidangan DUN oleh exco yang berkenaan sebelum ini.

"Pada pandangan audit semua 5,000 buah rumah ini kerajaan negeri (perlu) buat. 

"Itu ada silap, sebab itu laporan audit negatif. Padahal kalau dikira secara keseluruhan rumah yang dibina sudah mencapai target termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Jabatan Audit Negara menegur tiga agensi kerajaan di Kelantan membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang menguruskan Program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan (Pengurusan Skim Bantuan Am Al-Musa'adah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sdn Bhd).

Laporan Siri 1 itu mendapati secara keseluruhan RMMK tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana sasaran bagi menyedia dan menawarkan 5,000 unit RMMK dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak tercapai.

"Didapati prestasi program dari segi pencapaian output fizikal dan pencapaian 'outcome' hanya 160 unit (3.2 peratus) RMMK yang dapat disedia dan ditawarkan," menurut laporan itu kelmarin.

Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, pembinaan rumah mampu milik di Kelantan bukan hanya dilaksanakan kerajaan negeri semata-mata.

Sebaliknya pembinaan rumah mampu milik oleh mana-mana pihak juga dianggap sebagai sebahagian daripada program kerajaan negeri.

"Kita ada agensi peneraju, kita ada PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) dan PMBK tetapi tidak bermakna apabila kita letak target 5,000 buah semuanya dibuat oleh kerajaan. 

"Sebelum ini kita dah jawab dalam sidang dewan undangan negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS