Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setiap hari 'Aida Jebat' makan seperiuk nasi

Setiap hari seperiuk nasi dimasak khusus untuk ‘Aida Jebat', seekor lembu betina peliharaan seorang suri rumah, Ain Zahirah Zokri, di Kampung Lala, di sini.

Ain Zahirah, 24, berkata lembu berusia kira-kira dua tahun yang dibeli daripada seorang penduduk kampungnya Februari lalu itu, gemar makan nasi sejuk setiap kali ia pulang dari meragut rumput.

“Tabiat pelik lembu ini disedari apabila semua nasi yang kami beri untuk ayam, habis dimakannya dan setiap kali saya bawa nasi keluar untuk diberi kepada ayam, ia akan meluru ke arah saya.

“Mulanya kami agak pelik sebab lembu suka makan nasi, namun lama-lama menjadi kebiasaan kami, bagi dia makan nasi hinggalah hubungan kami dengan Aida Jebat makin rapat sebab dia makin manja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pokok Sena hari ini.

Beliau berkata, jika tidak diberi nasi, Aida Jebat akan datang dekatnya sambil merenung wajahnya lama-lama dan tidak akan berlalu selagi tidak diberikan makanan kegemarannya itu.

Ain Zahirah berkata, selain Aida Jebat, seekor lagi lembu peliharaannya digelar Awang Hitam, kini dilihat turut gemar makan nasi.

“Nasi yang saya berikan untuk lembu-lembu ini masih dalam keadaan elok, saya campurkan dengan sedikit garam,” katanya.

Beliau berkata tabiat pelik lembunya itu menarik perhatian penduduk kampung yang sering datang untuk melihat haiwan itu makan nasi pada sebelah petang.

Sementara itu, nenek Ain Zahirah iaitu Rahmah Ismail, 74, berkata walaupun beliau berpengalaman memelihara lembu sejak lebih 50 tahun lalu, kehadiran Aida Jebat dianggap sebagai sesuatu yang istimewa dan unik.

“Lembu-lembu ini bukan sahaja makan nasi, kerana pada hari raya yang lalu, haiwan ini juga makan lemang dan ketupat, kalau ikutkan saya nak berikan apa sahaja lembu ini nak makan, tetapi risau juga boleh memudaratkan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS