Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Kelantan gesa Khairuddin henti lagakan pemimpin

PKR Kelantan melontarkan peringatan keras kepada Penyelaras PH Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan supaya tidak sibuk bertindak melaga-lagakan pimpinan parti itu.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Roslan Ismail berkata kenyataan Khairuddin kebelakangan ini dilihat seperti 'batu api' yang mahu melaga-lagakan kepimpinan utama PKR.

"Untuk itu Khairuddin dinasihatkan supaya lebih baik memberi tumpuan terhadap perebutan kuasa yang berlaku dalam partinya sendiri (Bersatu), lebih-lebih lagi pada musim pemilihan muktahir ini.

"Kami ingin memberi peringatan keras kepada penyelaras Parlimen Jasin itu supaya berhentilah melompat terkinja-kinja, menangguk di air keruh dan mencari perhatian umum dalam isu video lucah ini. Biarlah dalaman PKR yang menyelesaikannya," katanya dalam kenyataan kepada media, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Khairuddin (foto, atas) yang membuat laporan polis supaya video-video lucah yang dikaitkan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada suatu mana dahulu disiasat semula.

Laporan itu dibuat ketika wujudnya pergeseran antara Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali yang kini dikaitkan dengan klip video seks.

Khairuddin yang dilihat sebagai penyokong setia Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menggesa polis untuk menyiasat klip video seks yang pernah dikaitkan dengan Anwar.

"Atas dasar untuk mengelak fitnah dari terus melanda bakal perdana menteri kelapan (merujuk Anwar) sebab itulah saya membuat laporan polis memohon siasatan forensik ke atas semua video-video yang pernah mengaitkan Anwar bagi mengetahui sama ada video-video ini tulen ataupun palsu," katanya semalam.

Sementara itu Roslan berkata, Khairuddin dengan usianya kini sepatutnya berpolitik secara matang dengan memberi tumpuan, teguran dan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan agar memberi nilai tambah sebaliknya bukan menjadi penyibuk dan menunjuk minat yang mendalam terhadap video-video lucah.

"Jika Khairuddin mahu dilihat sebagai juara dalam mana-mana konflik atau seteru mana-mana pihak, lupakanlah niat tersebut kerana beliau sendiri pernah 'lari' daripada Bersatu kerana konflik dalaman bekas partinya itu.

"Berhentilah melagakan orang lain, sebaliknya semaikan keharmonian dalam PH serta fokus kepada maslahat serta kebajikan rakyat.

"Atau adakah Khairuddin ini 'budak suruhan' oleh mana-mana pihak supaya memecah-belahkan PKR, supaya tidak lagi menjadi parti dominan dalam PH?" soalnya.

Lihat Komen
ADS