Dewan Rakyat kecoh Kit Siang-Badruddin bertikam lidah
Persidangan Dewan Rakyat riuh hari ini apabila Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), yang `diserang' penyokong kerajaan, meminta mereka agar tidak menjadikan Parlimen sebagai `taman binatang'.
Persidangan Dewan Rakyat riuh hari ini apabila Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), yang `diserang' penyokong kerajaan, meminta mereka agar tidak menjadikan Parlimen sebagai `taman binatang'.
Kekecohan bermula sebaik sahaja Lim bangun menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, apabila Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) merujuk satu peraturan mesyuarat yang meminta Lim memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghasut semasa membahaskan usul itu semalam.
Badruddin berkata Lim telah merujuk Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai Perkhidmatan Awam Melayu, yang menggambarkan seolah-olah kerajaan hanya melantik orang Melayu sebagai pentadbir.
"Itu satu benda yang boleh menghasut orang bukan Melayu marah kepada Melayu kerana hanya orang Melayu sahaja dilantik untuk menjadi pegawai tadbir. Ini adalah satu perkara yang berbahaya jika terus berlaku," katanya.
Badruddin berhujah, Lim pernah membangkitkan perkara serupa apabila mempersoalkan kenapa Naib Canselor di institusi pengajian tinggi hanya di kalangan orang Melayu.
"Saya minta kepada Yang Berhormat Ipoh Timur jangan selalu membangkitkan isu ini. Kita ada parti komponen Barisan Nasional, kita menghormati (mereka).
'Salahguna peraturan'
"Tetapi apabila Yang Berhormat Ipoh Timur berulang-ulang kali membangkitkan perkataan menghasut supaya benda-benda ini berlaku, maka saya berharap Yang Berhormat Ipoh Timur di masa akan datang jangan cuba untuk melaga-lagakan rakyat di negara kita ini," katanya.
Bernama melaporkan, Lim bangun dan berkata Badruddin menyalahgunakan peraturan mesyuarat untuk berbahas kerana memberi penjelasan terlalu panjang.
"Kalau macam ini saya pun boleh buat," kata Lim.
Akibat daripada itu berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya yang memaksa Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib campurtangan.
"Duduklah Yang Berhormat. Mungkin kata-kata yang disebutkan merupakan satu perkara yang sensitif tapi saya tak fikir perkataan-perkataan itu termasuk dalam istilah yang boleh dimasukkan dalam perkataan-perkataan yang dilarang dalam Akta Hasutan.
"Dalam pada itu saya juga minta Yang Berhormat mengelak guna ayat-ayat yang sensitif dalam ucapan," katanya sambil meminta Lim menyambung perbahasan.
'Taman binatang'
Lim meneruskan kritikan terhadap Badruddin dan merujuk bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kedah itu sebagai `orang tak guna' dan `tak ada standard'.
Ini sekali lagi mencetuskan perbalahan antara kedua-duanya. Lim akhirnya meminta Badruddin dan anggota penyokong kerajaan diam sambil berkata: "Ini semua kita tahulah. Jangan menjadi ini satu taman binatang. Kita tak nak begitu."
Mendengar kenyataan Lim, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) mencelah dan berkata: "Ipoh Timur kepala segala binatang."
Malah Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang bangun mengemukakan peraturan mesyuarat turut terkena tempias apabila dirujuk sebagai `ular sawa' oleh Badruddin.
Kekecohan itu akhirnya dikawal oleh Ramli yang meminta supaya semua anggota duduk dan Lim meneruskan perbahasan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.