Paling Popular
Terkini

Putrajaya membincangkan untuk menyelaraskan semula tugas dan tanggungjawab setiausaha politik supaya tidak disalahgunakan seperti pentadbiran terdahulu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana beliau berkata, tanggungjawab setiausaha politik sepatutnya menjadi perantaraan antara menteri dan rakyat.

"Pada mulanya setiausaha politik dicadangkan untuk tolong menteri untuk menghubungi rakyat dalam kawasan-kawasabnya dan dari kawasan lain.

"Tapi sekarang ni kadang-kadang kita dapati dalam kes yang berlaku pada kerajaan yang lepas, setiausaha politik terlibat dengan agihan kontrak. Ini bukan tugas setiausaha politik.

"Sebab itu kita kembali kepada tanggungjawab setpol (setiausaha politik) sebagai perantaraan antara menteri dan rakyat di kawasannya," katanya.

Mahathir Mohamad

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas mengenai anti rasuah di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata, mesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip bahawa terdapat keperluan untuk Jawatankuasa Kabinet membincangkan fungsi tugas dan tangungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas mereka di kementerian.

Pada mesyuarat tersebut, sebanyak lapan kertas mesyuarat telah dibincangkan yang memberi fokus kepada inisiatif dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Ia berkaitan dengan usaha untuk menambah baik urus tadbir dan integriti dalam memerangi rasuah.

Sementara itu, beliau hari ini turut melancarkan aplikasi telefon pintar respons rakyat bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Lihat Komen
ADS