Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana hanya baru tiga minggu dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau berkata, kementeriannya sedang mendapatkan lebih banyak cadangan dan maklumat daripada pelbagai pihak sebelum membuat keputusan mengenai sebarang pindaan terhadap akta tersebut.

"Buat masa ini kita sedang mengumpul maklumat...dari pihak universiti, pelajar dan sebagainya sebelum bentuk pindaan itu diumumkan," katanya kepada pemberita selepas menemui pengurusan kanan universiti-universiti awam tempatan di ibu negara hari ini.

Mustapa berkata, cadangan dan maklumat yang akan diperolehi kali ini mungkin berbeza dengan apa yang dilakukan oleh menteri terdahulu, Datuk Shafie Salleh yang digugurkan dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

Mengenai pelajar warga negara Bangladesh yang dilaporkan telah menyalahgunakan pas pelajar mereka, Mustapha berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian dalam Negeri (KDN) untuk menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius perbuatan pelajar terbabit kerana ia juga boleh membahayakan keselamatan negara.

Dapatkan penjelasan

"Kementerian merancang memanggil pusat pengajian terbabit bagi mendapatkan penjelasan dari mereka," katanya lagi.

Mengenai cadangan Menteri Besar Selangor yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Seri Mohd Khir Toyo supaya membenarkan mahasiswa memababitkan diri dengan kegiatan luar, Mustapha berkata: "Kami akan mengkaji perkara itu."

Katanya, kajian itu meliputi sama ada ia memerlukan pindaan terhadap Auku atau undang-undang kecil universiti.

Mustapha memberitahu, dalam perjumpaan dengan pihak universiti hari ini, kerajaan memberi penerangan dan penjelasan mengenai pelbagai isu termasuk isu kenaikan harga minyak.

Beliau berkata, ada pelajar dan kakitangan universiti bertanya mengapa kerajaan menaikkan harga minyak sedangkan Sarawak dan Terengganu mengeluarkan minyak untuk keperluan negara.

"Mereka juga ingin tahu mengenai rancangan kerajaan untuk pengajian tinggi dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK 9)," katanya.