Kjaan putuskan MAS kendali laluan utama, AirAsia penerbangan kos rendah
Kerajaan memutuskan Penerbangan Malaysia (MAS) mengendalikan perkhidmatan penerbangan domestik laluan utama manakala AirAsia menyediakan perkhidmatan penerbangan kos rendah.
Kerajaan memutuskan Penerbangan Malaysia (MAS) mengendalikan perkhidmatan penerbangan domestik laluan utama manakala AirAsia menyediakan perkhidmatan penerbangan kos rendah.
Laluan utama merujuk kepada laluan Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan kekerapan tujuh atau lapan penerbangan sehari.
Dalam usaha merasionalisasikan sektor penerbangan domestik, kerajaan menetapkan AirAsia mengendalikan perkhidmatan penerbangan domestik laluan bukan utama, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri petang ini.
MAS dan AirAsia juga diberi kelonggaran menentukan kekerapan penerbangan, pengagihan kapasiti serta jenis pesawat dan tambang, tertakluk kepada kawalselia Kementerian Pengangkutan.
Kementerian Pengangkutan akan meningkatkan keupayaan dan mekanisme kawal selia untuk memastikan persaingan yang sihat dalam sektor penerbangan domestik.
Menurut kenyataan itu, kerajaan berpandangan, proses merasionalisasikan sektor perkhidmatan penerbangan domestik diperlukan bagi menentukan kejayaan jangka panjang MAS dan AirAsia.
Penerbangan domestik
Bernama melaporkan, keputusan itu bertujuan memastikan agar perkhidmatan penerbangan domestik terus berdaya saing dan memenuhi keperluan semua pengguna.
Menurut kenyataan itu, kerajaan telah meminta MAS dan AirAsia bekerjasama ke arah menentukan definisi laluan utama dan laluan bukan utama.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu juga diminta berbincang bagi mendapatkan pengagihan kapasiti serta kekerapan perkhidmatan yang optimum bagi perkhidmatan penerbangan laluan utama.
MAS dan AirAsia diminta menyerahkan hasil perbincangan itu kepada kerajaan sebelum 27 Mac ini untuk pertimbangan muktamad.
Dalam masa terdekat ini, kedua-dua syarikat penerbangan itu telah diminta menguruskan kapasiti masing-masing ke tahap lebih optimum dan MAS pula tidak lagi akan menawarkan tambang diskaun "supersavers".
Ambil alih laluan
Isu laluan penerbangan dan perkhidmatan tambang murah ini telah berlarutan hampir setahun.
Berikutan persaingan sengit kedua-dua syarikat penerbangan itu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet untuk merasionalisasikan laluan penerbangan domestik dan menentukan syarikat mana diberi perkhidmatan domestik laluan utama dan yang mana pula dibenar menawarkan perkhidmatan penerbangan kos murah.
Jawatankuasa itu dianggotai wakil-wakil Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, MAS dan Air Asia.
Sebelum ini, Air Asia telah menyatakan kesanggupan untuk mengambil alih laluan yang tidak menguntungkan yang mungkin dilepaskan oleh MAS, termasuk laluan Kuala Lumpur-Ipoh dan Kuala Lumpur-Kuantan.
MAS pula, ketika mengumumkan pelan pemulihan perniagaannya baru-baru ini, berharap diberi kebebasan untuk menentukan destinasi, jadual dan tambang agar ia beroleh keuntungan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.