Terjemahan Jutawan kereta Tan Sri Nasimuddin SM Amin mendahulu senarai penerima Permit Import (AP) kereta bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Kumpulan Naza Motor setakat ini menerima 4,158 AP francais dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengimport kereta mewah.

Dalam jawapan bertulis kepada Ketua Pembangkang Lim Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Menterinya, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata di bawah senarai pemegang AP terbuka, Naza Konsortium Sdn Bhd milik Nasimuddin muncul sebagai penerima terbesar, dengan sebanyak 3,112 permit tahun lalu dan 1,297 lagi sehingga 1 Mac tahun ini.

Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri, dalam satu kenyataan tahun lalu, mendakwa pemberian AP terbuka telah dihentikan pada 1988.

Ekoran itu, tidak dapat dipastikan bagaimana permit terbuka ini masih dikeluarkan.

Tahun lalu, Naza Motor Group, termasuk Naza Kia Sdn Bhd dan NZ Wheels Sdn Bhd, telah diperuntukkan sejumlah 9,220 AP francais.

Rafidah juga mendedahkan bahawa sejumlah 18,007 AP telah diperuntukkan kepada pengimport kereta dalam tempoh dua bulan pertama 2006.

Beliau berkata, jumlah peruntukan AP bagi tahun ini telah ditetapkan sebanyak 52,138 dan ia berdasarkan kepada 10 peratus daripada jumlah pengeluaran kenderaan tempatan.

Dua jenis AP

Katanya sehingga 1 Mac lalu, sebanyak 18,007 AP yang dikeluarkan adalah sebagai langkah sementara sehinggalah dasar automatif negara disiapkan.

Menurut Rafidah lagi, sejumlah 57,267 AP dikeluarkan tahun lalu, daripada sejumlah 66,979 yang diperuntukkan untuk syarikat-syarikat berkenaan.

Terdapat dua jenis AP francais dan terbuka. AP francais dikeluarkan kepada syarikat yang mempunyai perjanjian ekslusif dengan pengeluar kereta asing.

Manakala bagi AP terbuka pula, penerimanya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber.

Pemberian AP diperkenalkan pada 1970 dengan matlamat untuk membuka peluang kepada peniaga bumiputera untuk maju dalam sektor automatif negara.

Pemberian AP telah menjadi isu hangat tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi penasihat Proton, mendakwa, pengeluaran AP yang berleluasa telah menjejaskan syarikat kereta nasional itu.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana individu-individu tertentu boleh menerima begitu banyak AP berkenaan. Berita asal