Lebih 38,000 unggas di dua kawasan di Perak dimusnahkan
Lebih 38,000 unggas di Kampung Changkat Tualang, Gopeng, dan taman pelancongan Ecopark, Bukit Merah Laketown Resort, Taiping selepas wabak selesema burung H5N1 dikesan di kawasan terbabit.
Lebih 38,000 unggas di Kampung Changkat Tualang, Gopeng, dan taman pelancongan Ecopark, Bukit Merah Laketown Resort, Taiping selepas wabak selesema burung H5N1 dikesan di kawasan terbabit.
Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Kementerian Kesihatan memulakan operasi pemusnahan itu mulai jam 5 petang semalam Changkat Tualang membabitkan sebuah ladang ternakan yang menternak 20,000 ekor itik berusia sehari , 8,000 ekor ayam dan 10,000 itik berusia 50 hari.
Changkat Tualang terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Ipoh manakala Bukit Merah pula terletak dekat Taiping dan jarak antara kedua-dua tempat itu ialah kira-kira 150 kilometer.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, 500 ekor ayam kampung milik penduduk akan turut dimusnahkan.
"Pihak berkuasa akan memusnahkan semua unggas berkenaan secepat mungkin supaya virus berkenaan tidak merebak melebihi kawasan di luar satu kilometer radius dan juga ke kawasan penternakan lain di negeri ini," kata dalam sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh malam tadi.
Beliau berharap penternak dan penduduk kampung akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membendung wabak berkenaan.
"Kerajaan negeri akan bertindak tegas serta tidak ada kompromi terhadap mana-mana penternak dan penduduk bagi memusnahkan unggas di kawasan yang telah dikenalpasti terlibat," katanya.
30 spesis
Mengenai wabak yang dikesan di Ecopark, beliau berkata kesemua 249 ekor dari 30 spesies burung antaranya kakak tua, hantu dan kenari yang dipelihara di taman itu akan dimusnahkan.
"Burung terbabit ditempatkan di sebuah pulau seluas satu hektar dan hanya pulau itu yang terlibat," katanya.
Taman yang terletak di sebuah pulau di tasik Bukit Merah itu merupakan salah satu tarikan pengunjung ke resort itu selain sebuah lagi pulau yang menempat haiwan eksotik seperti Orang Utan.
Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan membayar pampasan setimpal kepada para penternak atas kerugian yang terpaksa ditanggung berikutan operasi pemusnahan itu.
Tajol Rosli sementara itu menasihati para penduduk di seluruh Perak supaya melaporkan segera kepada JPH jika mendapati unggas peliharaan mereka sakit atau mati.
Beliau juga berkata wabak berkenaan dipercayai berpunca daripada burung migrasi yang datang ke Perak. Kedua-dua kawasan terbabit mempunyai banyak kawasan berpaya dan bekas
lombong yang menjadi tumpuan burung migrasi.
Tajol Rosli berkata tindakan segera itu adalah untuk memastikan Perak sebagai negeri penternakan ayam dan itik terbesar Malaysia serta pengeksport utama ke Singapura tidak terjejas dengan kes berkenaan.
Di Bukit Merah, para wartawan dan jurugambar tidak dibenarkan masuk ke resort berkenaan untuk membuat liputan operasi pemusnahan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Institut Veterinar semalam mengesahkan kematian burung di taman itu pada 9 Mac dan dan ayam kampung di Changkat Tualang pada 11 Mac berpunca daripada H5N1.
Singapura gantung import
Sementara itu, pihak berkuasa Veterinar dan Makanan Pertanian (AVA) Singapura menggantung import ayam itik dan produk-produk ternakan itu dari Perak berkuatkuasa serta-merta berikutan langkah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Malaysia menggantung eksport produk itu dari
negeri berkenaan.
AVA dalam satu kenyataan lewat hari ini berkata pihaknya telah dimaklumkan oleh JPH mengenai wabak selesema burung H5N1 disahkan di Ekopark Bukit Merah Laketown Resort dan Kampung Changkat Tualang di Perak.
"Penggantung sekarang tidak menjejaskan import ayam itik dari zon-zon bebas penyakit di Johor, Melaka dan Negri Sembilan. AVA akan bekerja rapat dengan JPH bagi memantau situasi penyakit itu bagi memastikan ayam itik yang diimport tidak menjajaskan kesihatan orang ramai dan ternakan," katanya.
Bagaimanapun bekalan itik dijangka terjejas sementara memandangkan Perak membekalkan kira-kira 80 peratus daripada jumlah keperluan itik di Singapura. Singapura memerlukan kira-kira 14,800 tan daging itik setahun.
Sepanjang dua bulan lalu, 93 peratus daripada bekalan itik hidup di Singapura diimport dari Malaysia dan tujuh peratus lagi diimport dari Belanda dan Amerika Syarikat. Perak membekalkan kira-kira20,000 itik sehari dan selebihnya dari Johor.
"Bagi meminimumkan impak ke atas bekalan daging itik, AVA sedang berusaha mengimport itik beku dari Belanda dan Amerika Syairkat," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.