Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

Temu rapat PKR akan berlangsung selama dua hari di resort Lexis Hibiscus yang berkelas lima bintang di Port Dickson hujung minggu ini.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang juga anggota Parlimen Port Dickson, melalui ucapannya malam tadi berkata ketegangan itu perlu diselesaikan demi perkara yang lebih penting.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah pegeseran antaranya dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Malaysiakini akan membawa pembaca melihat situasi semasa dan jangkaan yang akan berlaku.

Apa yang mereka buat?

Program pemukiman hujung minggu ini akan dimulakan dengan sesi senaman pagi dan tai chi di pantai persendirian itu.

Selepas bersenam dan sarapan pagi, para pemimpin akan berkumpul bagi mendengar ucapan daripada pemimpin parti - dengan topik ‘muhasabah perjuangan’ dan 'penyatuan parti.

Terdapat juga sesi taklimat mengenai sokongan orang ramai terhadap Pakatan Harapan (PH) oleh Institut Darul Ehsan (IDE), serta dialog dengan pemimpin gabungan itu iaitu - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Temu rapat itu juga akan memberi peluang kepada para pemimpin PKR, terutamanya buat penggubal undang-undang muda di peringkat Parlimen dan negeri-negeri, untuk mengenali dengan tokoh kanan PKR.

Adakah Azmin dan penyokongnya memboikot pemukiman itu?

Ketiadaan Azmin pada program itu menimbulkan tanda tanya dikalangan anggota PKR terutamanya selepas ketegangan antara beliau dan Anwar sejak minggu lalu.

Ia susulan kenyataan Anwar yang mengarahkannya meletakkan jawatan jika video seks yang dikaitkan dengannya itu benar.

Kebanyakan pemimpin PKR yang hadir ke program tersebut semalam dilihat memihak kepada Anwar.

Bagaimanapun beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan kem Azmin terutama ketika pemilihan parti tahun lalu, antaranya Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar, dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Elizabeth Wong dan Rashid Hasnon hadir pada sesi malam tadi.

Naib Presiden PKR, Tian Chua juga memaklumkan akan hadir, manakala pemimpin-pemimpin pasukan Azmin seperti naib presiden yang dilantik Ali Biju dan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dijadualkan berucap dalam temu rapat itu.

Bercakap kepada Malaysiakini malam tadi, Wong (gambar) berkata ketiadaan pemimpin tertentu tidak sepatutnya dilihat negatif.

Beliau berkata pemimpin PKR yang juga menteri seperti Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah tidak dapat hadir kerana mereka mempunyai tugas rasmi.

Wong bagaimanapun kurang optimis, dan mengatakan tidak mungkin kekusutan itu boleh terlerai dalam masa 48 jam sahaja.

Namun beliau berharap Anwar selaku presiden parti akan terbuka mendengar keluhan pihak mereka dan juga cadangan untuk menyatukan parti

Rashid pula menyifatkan dirinya sebagai pasukan jalan tengah – yang mahu kedua-dua kem itu berpadu. 

Katanya, beliau berharap Azmin akan muncul dan menyampaikan ucapannya, malam ini.

PKR damai lepas temu rapat?

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mempertahankan Azmin berkaitan penyebaran video itu melalui ucapannya malam tadi turut menggesa pergeseran yang kian memuncak dalam parti itu ditamatkan.

Adun Kota Anggerik Najwan Halimi yang sebelum ini bersama kem Azmin dalam PKR, tetapi berpecah dan bertanding sebagai "kuasa ketiga" pada pemilihan Pemuda PKR (AMK) tahun lepas juga mahukan semua pimpinan PKR berkumpul dalam temu rapat itu.

"Saya jangka semua pemimpin termasuklah timbalan presiden akan hadir dan kami percaya walau terdapat perbezaan, masa depan parti merupakan keutamaan kami dan pemukiman ini akan mengembalikan semangat perpaduan," kata Najwan kepada Malaysiakini.

PKR untuk beberapa tempoh terbahagi kepada penyokong Anwar dan Azmin namun keadaan itu kelihatan bertambah buruk sejak beberapa bulan ini susulan tersebarnya video seks yang mengaitkan Azmin.

Spekulasi mengatakan ia berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri susulan dakwaan bahawa Mahathir lebih memilih Azmin untuk menggantikannya, walaupun persetujuan awal menyebut Anwar akan mengambil tempat itu.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi yakin dalang klip video itu datang dari dalam PKR.

Setiausaha politik presiden PKR, Farhash Wafa Salvador, antara individu yang ditahan susulan siasatan kes itu.  Bagaimanapun Anwar menafikan penglibatan dirinya.

Polis sebelum ini menahan lapan orang berhubung penyebaran video tersebut, termasuk Farhash dan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengakui dirinya individu dalam rakaman itu.

Haziq juga mendakwa Azmin sebagai rakan perlakuan lucah dalam klip video itu.

Azmin berulang kali menafikan tuduhan itu menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pihak polis juga mengesahkan video tersebut adalah tulen namun proses pengecaman wajah gagal mengesahkan Azmin adalah salah seorang daripada dua individu dalam rakaman berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS