Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Bersatu perlu mengambil iktibar budaya pemimpin yang mementingkan diri sendiri dengan menyekat penyertaan anggota parti yang lebih cekap daripada dirinya, maklum Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

"Ini kita dapat lihat di dalam parti yang dinamakan Umno itu.

"Pada mulanya memang setia kepada perjuangan tetapi lama kelamaan pemimpin-pemimpin parti ini lebih utamakan kepentingan diri sendiri daripada bangsa, agama dan tanah air.

"Maka berlakulah cara-cara yang tidak baik untuk mendapat tempat di dalam parti," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di hadapan 1,215 perwakilan partinya pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu hari ini.

Perdana menteri yang juga bekas presiden Umno selama 22 tahun itu memberi contoh sikap pemimpin cawangan bekas parti pimpinannya itu yang tidak membenarkan "orang yang lebih pandai daripada menyertai parti."

"Ketua cawangan tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripadanya menyertai parti.

"Yang boleh menyertai cawangan itu adalah orang yang lebih bodoh.

"... tetapi mereka tidak boleh hidup selamanya, bila mati pemimpin cawangan itu penggantinya lebih bodoh.

"Yang bodoh ini tak bagi orang lain masuk (Umno), cuma yang lebih bodoh saja boleh masuk. Lepas itu dia mati, yang bodoh juga akan ganti.

"Yang pada masa itu saya juga jadi presiden parti," katanya pada majlis yang berlangsung di Maeps, Serdang petang ini.

Hadir sama, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Mukhriz Mahathir serta pemimpin Bersatu di setiap peringkat.

Bekas Presiden Umno itu bertindak keluar parti bersama isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 29 Februari 2016.

Keputusan untuk meninggalkan Umno dibuat Mahathir yang ketika itu bekas perdana menteri kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Najib Razak yang juga presiden Umno.

Mahathir kemudiannya mengasaskan penubuhan Bersatu pada September tahun yang sama.

Bersatu yang dipimpin Muhyiddin memasuki gelanggang PRU-14 bersama-sama Pakatan Harapan (PH) bagi menumbangkan BN yang berkuasa lebih 60 tahun.

Menjelaskan lanjut, Dr Mahatahir berkata Bersatu perlu mengambil pengajaran daripada sejarah yang menimpa Umno untuk membuka pintu kepada mereka yang mempunyai kelayakan dan berpotensi menjadi pemimpin parti.

Katanya, Umno sebagai sebuah parti tidak bersalah, sebaliknya pemimpin parti itu yang tidak lagi mempedulikan kepentingan perjuangan bangsa, negara dan agama.

Tambah Mahathir, Umno berjaya mengangkat kedudukan orang Melayu, namun dirosakkan oleh pemimpin yang lebih pentingkan diri sendiri.

Dalam ucapannya juga, Mahathir berkata banyak parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak lagi wujud dan ditolak oleh rakyat selepas sekian lama memerintah seperti di Indonesia, Ghana mahupun Pakistan.

"Saya tertanya-tanya bila Umno parti yang berjuangan untuk diri sendiri ini akan ikut jejak (tidak wujud lagi).

"Ini yang kita lihat, Umno yang berjaya perjuangkan nasib orang Melayu, perjuangkan kemerdekaan, akhirnya ditolak," katanya.

Bersatu mengadakan perhimpunan agung khas hari ini bagi meminda perlembagaan parti.

Antara pindaan yang dibuat ialah bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan bagi tempoh 18 bulan selepas ia diluluskan.

Sebelum itu Muhyiddin dalam ucapannya menjelaskan pindaan yang dibentangkan oleh Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu.

Lihat Komen
ADS