Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat cerai Rihana sudah dihantar, kata peguam Sultan Kelantan
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Peguam kepada Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua hari ini dikatakan mengesahkan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah menceraikan bekas ratu cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko dengan talak tiga.

Sinar Harian memetik Koh berkata bahawa firma guamannya sudah menghantar surat cerai talak tiga itu kepada peguam Rihana.

“Kami ialah peguam untuk Sultan Muhammad V. Dimaklumkan bahawa baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002.

“Kami juga memohon semua pihak menghormati privasi baginda,” kata surat firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura.

Spekulasi penceraian Sultan Muhammad V dengan Rihana bermula selepas sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri tersebar.

Bagaimanapun Rihana pagi tadi memaklumkan Malaysiakini bahawa dia tidak pernah mendengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka dengan dirinya.

New Straits Times (NST) dalam laporan sebelum ini memetik sumber menyatakan, pasangan itu bercerai pada 22 Jun lalu, manakala pemfailan cerai adalah pada 1 Julai di Mahkamah Syariah Singapura.

NST turut dilaporkan sebagai berkata, salinan sijil perceraian kedua-dua pasangan yang tular itu adalah sah dengan perceraian “talak tiga buat kali pertama” atau talaq baayin.

Kisah rumah tangga pasangan diraja ini mencuri perhatian rakyat Malaysia, apabila Sultan Muhammad V dilaporkan bercerai dengan wanita berusia 26 tahun itu.

Namun, portal berpengkalan di Singapura, berita.mediacorp.sg yang memetik kenyataan Mahkamah Syariah Singapura pada 19 Julai berkata, mahkamah itu tidak mempunyai rekod perceraian difailkan Sultan Muhammad V dan Rihana.

Istana Kelantan masih tidak memberi kata putus berkaitan status pasangan ini, sebaliknya mengeluarkan penegasan, tidak ada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.

Malaysiakini juga sudah beberapa kali menghubungi pihak istana bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu ini tetapi gagal mendapatkan sebarang jawapan.

Lihat Komen
ADS