Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Pergeseran dengan istana antara sebab Hassan Karim letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 7:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Antara sebab Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Johor adalah kerana pergeseran dengan pihak istana, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Alasan lain, kata Anwar adalah kerana konflik dalaman dengan ahli PKR Johor.

"Hassan menyerahkan surat peletakan jawatannya tiga minggu lalu. Pertama, kerana sesetengah anggotanya merungut, kedua kerana ada pergeseran kecil dengan Sultan Johor, dan dia berpendapat bahawa dia akan menjadi beban kepada parti itu.

"Saya tidak bersetuju. Jadi kita tidak menerima peletakan jawatannya. Dia bimbang dia boleh merumitkan hubungan antara istana dan parti," kata Anwar yang dipetik oleh Malay Mail.

Sumber memberitahu Malaysiakini semalam bahawa peletakan jawatan Hassan tidak ada kaitan dengan perselisihan antara Anwar dan timbalannya, Azmin Ali.

Disember lalu, Hassan telah menolak pelantikan sebagai pengerusi PKR Johor selepas anak perempuan Anwar, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan pengerusi negeri Pulau Pinang.

Hassan berkata beliau percaya PKR mesti meminda perlembagaan berhubung pemilihan pengerusi negeri.

Beliau berkata pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor telah dipertikaikan justeru menolak pelantikan adalah tindakan yang sesuai.

Sementara itu, Hassan dan 26 pemimpin PKR Johor yang lain yang turut menandatangani satu kenyataan hari ini mengesahkan sokongan untuk Anwar sebagai presiden parti dan perdana menteri yang akan datang.

Antara yang turut menandatangani surat itu termasuk ahli exco Johor Jimmy Puah dan Khuzzan Abu Bakar.

Lihat Komen
ADS