Husam saran Orang Asli Kuala Koh ambil tindakan mahkamah
Masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebabkan masalah pencemaran di kawasan petempatan mereka.
Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, berkata ia bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjamin pada masa hadapan.
"Saya menyarankan agar mana-mana peguam secara sukarela - bagi masyarakat Orang Asli - menyaman pihak terbabit supaya perkara ini diteladani.
"Ia bertujuan agar tiada lagi pihak menyembunyikan amalan perlombongan haram kerana ia mencemarkan persekitaran dan punca air kepada Orang Asli dan penduduk lain," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya di Tumpat hari ini.
Kata Husam kegiatan pelombongan haram memungkinkan Orang Asli dijangkiti penyakit yang sehingga kini tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa.
Katanya walaupun hasil kajian awal dikatakan akibat demam campak, namun bedah siasat mendapati hanya tiga mangsa yang meninggal dunia disahkan akibat penyakit itu.
Semalam, Presiden Persekutuan Persatuan Perubatan Perubatan Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow, dilaporkan sebagai berkata ujian makmal terhadap sampel air yang diambil dari sumber di sekitar Kampung Kuala Koh pada 10 dan 11 Jun lepas mendapati wujudnya kandungan bahan pencemar dan toksik.
- Bernama

