Model, pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah hari ini mengemukakan saman menuntut gantirugi RM300,000 terhadap syarikat pemborong Mydin Mohamed Holdings Berhad yang didakwa menggunakan gambarnya bagi tujuan promosi tanpa kebenaran.

Writ saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melalui Tetuan Abdul Aziz & Associates.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wardina berkata syarikat itu sebelum ini dibenarkan menggunakan gambarnya pada papantanda untuk tujuan pengiklanan dan mempromosikan Pasaraya Mydin berdasarkan satu "Billboard Endorsement Agreement" bertarikh 15 Julai 2002.

Antara syarat perjanjian tersebut, syarikat itu membayar RM10,000 bagi tahun pertama untuk gambar pada papantanda dan RM1,000 untuk setiap tahun berikutnya, dan RM1,000 lagi setahun bagi setiap papantanda berikutnya.

Menurut laporan Bernama, syarikat itu juga dikehendaki memaklumkan secara bertulis jika ingin menggunakan imej Wardina bagi papan tanda seterusnya.

Wardina berkata syarikat itu melanggar perjanjian berkenaan serta hak harta intelektual beliau apabila hanya membayar RM10,000 kepadanya sedangkan gambarnya digunakan pada papantanda kedua di Lebuhraya Persekutuan tanpa kebenaran.

'Berasa tertipu'

Beliau mendakwa syarikat itu juga telah menggunakan gambarnya pada material pengiklanan dan promosi yang lain seperti poster gergasi, kain rentang dan beg kertas tanpa pengetahuan dan kebenarannya selepas tempoh perjanjian antara mereka tamat pada 31 Julai 2003.

Wardina yang berasa amat tertipu dengan perkara itu memaklumkannya kepada wakil syarikat berkenaan, Stone Advertising Sdn Bhd dan satu rundingan telah diadakan.

Beliau mendakwa syarikat itu kemudian dibenarkan terus menggunakan imejnya sehingga 31 Julai 2004 selepas defendan memberikan alasan telah membelanjakan wang yang banyak untuk mencetak gambarnya serta berjanji menawarkan kontrak bertulis dengan jumlah yang lebih kompetitif untuk tahun berikutnya.

Katanya syarikat itu kemudiannya hanya membayar RM2,000 sebagai gantirugi penggunaan harta intelektualnya untuk dua papan tanda di Lebuhraya Persekutuan dan RM6,000 untuk segala pelanggaran hak harta intelektual yang dilakukan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Wardina mendakwa beliau tidak ditawarkan sebarang perjanjian bertulis selepas 31 Julai 2004 seperti yang dijanjikan dan syarikat itu juga tidak menamatkan penggunaan gambarnya bagi tujuan mempromosikan Pasaraya Mydin.

Beliau mendakwa walaupun dituntut beberapa kali untuk menamatkan penggunaan imejnya pada sebarang material pengiklanan untuk promosi Pasaraya Mydin, syarikat itu masih gagal, ingkar dan/atau enggan berbuat demikian.

Harta inteleks

Katanya sehingga kini, imejnya masih boleh dilihat pada dua papantanda Lebuhraya Persekutuan serta lori-lori milik syarikat itu.

Wardina berkata beliau kemudiannya menghantar notis tuntutan meminta syarikat itu menamatkan segala bentuk pelanggaran hak harta intelektualnya dan gantirugi sebanyak RM100,000 tetapi gagal dipatuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain gantirugi am sebanyak RM300,000, Wardina turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang syarikat itu daripada menggunakan sebarang imejnya pada sebarang material pengiklanan dan promosi syarikat berkenaan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika ditemui pemberita, Wardina yang sarat mengandung dan ditemani suaminya, Ikhwan Johari berkata beliau mengemukakan saman itu untuk menuntut haknya dan mendakwa dieksploitasi oleh syarikat besar yang menganggap artis sepertinya akan berdiam diri jika diperlakukan sedemikian.

"Sebenarnya saya tidak suka datang ke mahkamah dan berjumpa media mengenai perkara ini, tetapi kalau hak kita dipijak-pijak dengan sewenang-wenangnya, kita terpaksa bertindak," kata ibu kepada Amna Nafeesa, dua setengah tahun.

Katanya kes ini boleh dijadikan teladan oleh artis lain yang pernah mengalami nasib yang sama.