Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semesta sahkan tumpahan diesel punca penutupan loji rawatan air
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 11:38 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengesahkan terdapat tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah semalam pada 6.15 petang, yang menyebabkan penutupan empat loji rawatan air miliknya.

KSSB bagaimanapun sedang menyiasat punca insiden tersebut dari pebagai sudut termasuk kemungkinan perbuatan khianat, sabotaj dan akan mengemaskini maklumat terkini.

“Pasukan ERT kami telah dikerahkan dengan segera ke tapak kejadian dan punca tumpahan telah dikenal pasti dan dikawal.

“Kami kini sedang memantau situasi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Situasi ini amat dikesali, namun kami ingin menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pencemaran tersebut melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) dan LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Pagi ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan loji rawatan air tersebut kembali beroperasi pada jam 3.30 pagi tadi.

Pada Jumaat lalu, 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas dengan gangguan air tidak berjadual susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS