Rihana: Moga Allah berkati rakyat Malaysia
Di sebalik pertikaian status perkahwinannya dengan sultan Kelantan, Rihana Oksana Gorbatenko hari ini berkata beliau mendapat dukungan baik dari seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia.
Ia, kata bekas ratu cantik Moscow, Rusia itu, menunjukkan jiwa besar rakyat Malaysia kerana “menerima dan menyokong saya - seorang wanita dari negara asing dan membesar dengan budaya berbeza”.
“Saya sangat bangga darah Malaysia mengalir dalam anak saya dan saya akan lakukan apa sahaja untuk dia membesar selayaknya dengan kasih anda semua,” katanya yang mengaku menulis status di Instagram itu dengan mata bergenang air mata.
“Dan saya rasa tidak perlu untuk menahannya, kerana ia adalah tangisan kegembiraan dan kesyukuran!”
Rihana sedang berdepan pertikaian status rumah tangganya dengan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Dia memberitahu Malaysiakini tidak pernah mendengar talak dijatuhkan secara bersemuka padanya.
Baca: Status lengkap Rihana
Kenyataan itu membuatkan istana yang selama ini berdiam diri mengeluarkan penafian bahawa cerai talak tiga itu dibuat dengan kehadiran dua saksi beragama Islam, berdasarkan undang-undang syariah.
Peguam sultan Koh Tien Hua dilaporkan berkata Mahkamah Syariah Kelantan memberikan kebenaran untuk perceraian serta mengeluarkan sijil perceraian pada 1 Julai lalu.
Menurut Koh lagi, Rihana dimaklumkan tentang perceraian itu pada 22 Jun melalui peguamnya, Alexander Dobrovinsky & Partners Rusia dan salinan sijil perceraian diberikan pada 20 Julai.
‘Terus besar dan bahagia si cilik duniaku’
Rihana yang berumur pertengahan 20-an itu hari ini bagaimanapun tidak menyentuh pertikaian status itu, sebaliknya hanya berkongsi luahan peribadi dan bermain dengan emosi.
Dia juga berkata, dalam hidupnya dia telah menghadapi pelbagai jenis kejahatan, tipu daya dan hasad dengki.
Bagaimanapun, katanya, rakyat Malaysia telah meyakinnya bahawa masih ada kebaikan di dunia ini.
“Kalaulah saya berpeluang, saya mahu memeluk anda semua dengan kegembiraan.
“Sokongan dan dorongan anda semua amat berharga bagi saya. Mesej masuk tidak henti-henti, saya akan terus berkongsi kisah hidup saya dengan ikhlas dan jujur.
“Semoga Allah memberkati anda semua, kawan-kawanku!” katanya.
Rihana juga emngumumkan hari ni genap dua bulan umur anaknya Leon.
“Terus membesar dan bahagia si cilik duniaku,” katanya.

