Paling Popular
Terkini

Polis Kelantan hari ini menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyerang seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok, Sabtu lalu.

Suspek, masing-masing berusia 30 dan 42 tahun, yang juga adik-beradik itu ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bachok pada pukul 5.15 petang tadi.

"Mereka (suspek) datang ke IPD Bachok dan tangkapan dibuat berkait siasatan kes yang berlaku di SMK Sri Gunong, Bachok.

"Kedua-duanya akan dipohon tahanan reman pada 23 Julai 2019 (esok) bagi membantu siasatan kes ini," kata Ketua Polis Daerah Bachok Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi.

Video berdurasi tiga minit 31 saat berkenaan kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu memaparkan seorang lelaki yang memarahi seorang guru lelaki yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada isterinya.

Pergaduhan dikatakan berpunca daripada tindakan sekolah menggantung seorang pelajar yang mempunyai hubungan keluarga dengan lelaki itu.

Bagaimanapun suspek mendakwa tidak mendapat surat daripada pihak sekolah berhubung penggantungan itu. Guru itu pula berkata ia sudah diberikan kepada pelajar.

Menerusi video itu, lelaki itu juga mengeluarkan kata-kata kesat kepada guru tersebut selain cuba mendesak mangsa untuk keluar dari kawasan sekolah.

Susulan insiden itu, guru berusia 52 tahun itu membuat laporan di IPD Bachok tengah malam tadi.

Bernama sebelum ini melaporkan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Lihat Komen
ADS