Harga bahan binaan yang tidak termasuk dalam senarai barangan kawalan, melambung secara mendadak sejak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak 30 sen seliter baru-baru ini, kata Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Wilayah Persekutuan, Ahmad Awang

Katanya, kenaikan ketara harga bahan binaan, terutama cat yang naik antara RM1.20 dan RM2 setin serta jubin yang naik 40 sen sekaki persegi, menjejaskan ramai kontraktor Bumiputera Kelas F kerana terpaksa menanggung kos tambahan.

"Selain itu pihak pembekal juga mengenakan caj pengangkutan bagi menghantar barangan yang dipesan sedangkan sebelum harga minyak naik, penghantaran adalah percuma," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, harga bahan binaan yang lain seperti kayu, atap dan siling juga naik pada kadar yang berbeza antara satu negeri dengan yang lain.

"Oleh itu, persatuan berharap agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut memantau harga bahan binaan selain harga barangan keperluan harian yang lain," katanya.

Berikutan itu, Ahmad berharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan kenaikan dalam sebutharga bahan binaan mengikut peratusan tertentu bagi projek yang ditawarkan kepada kontraktor Bumiputera Kelas F.

Jika tidak, katanya, sukar bagi kontraktor terbabit menyiapkan projek mengikut masa disebabkan masalah kewangan kerana pembelian bahan binaan daripada pembekal perlu dibayar tunai.

Margin keuntungan juga, katanya, akan terjejas kerana sebut harga bahan binaan yang tidak selaras dengan harga pasaran semasa dan ini akan menimbulkan masalah kepada kontraktor Kelas F dalam jangka masa panjang.