Puteri Umno nafi edar risalah ucapan di UM
Puteri Umno tidak mengedar risalah ucapan 'semoga berjaya' di luar dewan peperiksaan dengan kerjasama pentadbiran Universiti Malaya, kata ketua pergerakan itu bagi Wilayah Persekutuan.
"Sepanjang pengetahuan saya, kita tidak pernah edar risalah seperti itu. Saya pasti ketua bahagian Puteri Umno Lembah Pantai juga tidak melakukannya," kata Azlinda Mohd Rashad kepada malaysiakini hari ini.
Malaysiakini dimaklumkan risalah khas sempena musim peperiksaan itu - didakwa dikeluarkan oleh Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri Umno - diedarkan oleh beberapa pelajar universiti itu di luar bangunan bahagian peperiksaan UM dua hari lalu.
Risalah berwarna merah jambu itu bertulis "selamat menghadapi peperiksaan, semoga berjaya, ikhlas daripada Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri Umno dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya."
Satu sumber memberitahu malaysiakini , kumpulan pelajar yang mengedarkan risalah itu didakwa mendapat bayaran daripada seorang ahli jawatankuasa Puteri Umno. Sumber itu bagaimanapun tidak menamakan pemimpin wanita berkenaan.
"Saya amat terkejut dan kesal dengan tersebarnya risalah Umno di Universiti Malaya. Saya juga amat kesal dan kecewa kerana HEP terlibat secara langsung dalam menyebarkan dakyah dan sentimen parti di kampus," kata sumber itu lagi.
Dihubungi tengahari tadi, Azlinda berkata pergerakan itu tidak pernah mengatur program di universiti itu kerana patuh dengan peraturan yang melarang pembabitan parti politik dengan pelajar pusat pengajian tinggi.
"Kita (Puteri Umno) patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan dan jika kami mahu adakan apa-apa program, kami akan pastikan kebenaran diperolehi dahulu," katanya.
Ibu pejabat Puteri Umno enggan mengulas dan menyerahkan isu itu kepada Wilayah Persekutuan. Sementara malaysiakini gagal mendapat sebarang ulasan daripada pentadbiran universiti.
Azlinda juga tidak menafikan kemungkinan risalah itu sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencemarkan nama baik Puteri Umno.
Surat layang konspirasi
Sementara seorang pelajar UM pula memberitahu, risalah itu diedarkan di luar dewan peperiksaan dengan jumlah yang banyak pada 19 September.
"Kami tidak nampak siapa yang edar risalah itu kerana ia dibiarkan bertaburan di luar dewan selepas tamat peperiksaan yang berlangsung pada waktu pagi," katanya, yang enggan dikenali.
Malaysiakini difahamkan risalah itu telah diedarkan di luar dewan itu beberapa kali sepanjang musim peperiksaan yang bermula 13 September.
Manakala seorang pemimpin pelajar universiti itu berkata, beliau menerima beberapa aduan mengenai pengedaran risalah dan surat layang di kampus itu sejak pertengahan Ogos.
Beliau, yang enggan namanya disiarkan, berkata sebelum ini ada pihak tertentu menyebarkan risalah yang menyatakan sokongan jika timbalan naib canselor HEP mengambil alih jawatan naib canselor, Prof Datuk Dr Anuar Md Zaini.
Risalah itu, yang turut mendesak Anuar melepaskan jawatan, disebarkan kepada sekretariat persatuan-persatuan di UM.
"Selain itu, turut terdapat surat layang mengenai konspirasi yang mahu menjatuhkan naib canselor diedarkan kepada barisan pemimpin pelajar," katanya.

