Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Azmin semburit’, laung Farhash pada penyokong
Diterbitkan:  Jul 23, 2019 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melaungkan “Azmin semburit,” sebagai mengakhiri ucapannya di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Laungan itu dilontarkan selepas “reformasi” dan “Anwar for PM”.

Ucapannya itu dibuat sejurus selepas dia dibebaskan daripada tahanan polis pada 3.50 petang ini selepas reman yang dikenakan ke atasnya berakhir.

Beliau yang berpakaian baju T hitam dengan kalung bunga berwarna merah kelihatan gembira sebelum memulakan ucapannya, sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan tersenyum lebar di hadapan penyokong beliau.

Ucapan yang dimulakan dalam bahasa Inggeris di hadapan pemberita serta kira-kira 100 orang penyokong yang menyambut kebebasannya itu, berkata beliau percaya bahawa terdapat konspirasi politik.

Bagaimanapun, dakwanya, konspirasi itu dibuat terhadap Anwar.

Rata-rata penyokong yang hadir dilihat memgang plakad mempertahankan pengerusi PKR Perak itu, seperti “Haji Farhash Kami Bersamamu,” “Keadilan Tambun Menyokong Pengerusi MPN Perak,” “Lawan Tetap Lawan… Hidup Reformasi.”

Mereka juga melaungkan "Bebaskan Farhash" dan "PDRM jangan jadi alat politik!".

Farhash yang ditahan reman pada 16 Julai, berikutan dipercayai terlibat dalam video yang membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali itu turut mempertikaikan kredibiliti Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kerana tidak mengambil tindakan terhadap Azmin.

Pada masa sama, beliau turut mengkritik tindakan pihak polis terhadap penahanannya itu.

"Saya tak kelihatan pun macam Azmin. Jadi kenapa polis tak boleh hanya panggil (untuk soal siasat) dan merakam keterangan saya?

"Tapi mereka pilih untuk menahan saya seperti saya seorang pembunuh, seorang banduan peringkat bawah. Mereka cuba untuk kenakan tindakan paling keras kepada saya.

"Mereka cuba untuk menahan reman saya selama tujuh hari dan melanjutkannya selama tujuh hari lagi, maksimum. Alhamdulillah, saya ada peguam yang bagus," katanya.

Bekas ketua pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang turut ditahan dua hari sebelumnya pula dibebaskan kira-kira 10 minit selepasnya.

Setakat ini, seramai 11 orang telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung video berkenaan.

Bulan lalu, beberapa siri video seks diedarkan kepada ahli politik dan wartawan oleh individu tidak dikenali.

Selepas itu, Haziq mengakui beliau adalah salah seorang daripada dua lelaki yang melakukan hubungan sejenis dalam video berkenaan.

Beliau mendakwa pasangannya adalah Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Ekoran daripada itu, keadaan kemelut PKR yang terbahagi kepada penyokong Anwar dan Azmin itu kelihatan bertambah buruk sejak beberapa bulan ini susulan tersebarnya video seks yang mengaitkan Azmin.

Lihat Komen
ADS